Adverts

Monday, July 30, 2012

Solat Tarawih

Selesema mengganggu solat tarawih saya pada hari ini, asyik terasa ingin ke bilik air membersihkan hidung ini. Ya Allah ya Tuhanku, kurniakanlah kesihatan pada badan hambamu ini T.T

Tarawih bererti ‘istirehat’ manakala solat Tarawih pula bermaksud solat yang merehatkan. Dalam melaksanakannya, disunatkan duduk sebentar selepas salam sambil memperbanyak zikir pada setiap rakaat keempat dan dikerjakan dalam keadaan tenang, tenteram dan tidak tergesa-gesa menyelesaikannya.

Kadang-kala sesetengah masjid mahupun surau melakukan tarawih dengan pantasnya sehinggakan para makmumnya tidak sempat menghabiskan bacaan Al-Fatihah.

“Allah SWT. menetapkan kewajipan puasa kepada kamu dan disunatkan kepada kamu solat pada malam harinya. Sesiapa berpuasa pada siang hari dan melakukan solat pada malam harinya kerana iman dan mengharapkan keredaan-Nya maka ia kelak bersih dari dosa-dosanya seperti seorang bayi yang dilahirkan ibunya.”

Solat Tarawih adalah sunat muakkad yang boleh dilakukan secara berjemaah atau sendirian sama ada di rumah atau masjid pada malam-malam bulan Ramadan, di antara waktu selepas solat Isyak hingga ke sebelum fajar.

Solat Tarawih boleh dilaksanakan dengan setiap dua rakaat satu salam, sekurang-kurang 4 kali dan disambungkan dengan solat Witir tiga rakaat atau boleh juga dilakukan 2 kali empat rakaat.

“Rasulullah SAW tidak pernah mendirikan solat malam melebihi 11 rakaat, baik pada Ramadhan mahupun bulan lainnya, beliau mendirikan empat rakaat yang sangat panjang, kemudian empat rakaat lagi yang panjang, selepas itu solat tiga rakaat.” (Riwayat Bukhari)

Tujuan:
  • Solat Tarawih adalah ibadah untuk menghidupkan malam Ramadan dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.
  • Menggunakannya untuk menghafal kembali surah al-Quran.
  • Mengharapkan kerahmatan dan keampunan Allah SWT.

“Sesiapa yang melakukan solat malam pada Ramadhan kerana keimanan dan mengharapkan keredaan dan keampunan Allah semata-mata, maka diampunkan segala dosanya yang lalu.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...