Adverts

Friday, August 31, 2012

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan

Assalamualaikum w.b.t.

Sempena hari kemerdekaan yang ke-55 pada hari ini iaitu 31 Ogos 2012, saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-55. Alhamdulillah pada tahun ini hari kemerdekaan negara jatuh pada hari Jumaat, dapat mendapat serba sedikit ilmu pengetahuan dari khutbah Jumaat yang disampaikan oleh mimbar.


Kemerdekaan yang dikecapi bermakna kita bebas bukan sekadar daripada penjajahan fizikal malahan mencakupi spiritual dan mental. Erti kemerdekaan yang dinikmati ialah membebaskan diri daripada cengkaman kuasa asing seterusnya berusaha bangkit sebagai bangsa bermaruah. Kekuatan politik untuk memperolehi kemerdekaan perlu didokong oleh penguasaan ilmu pengetahuan untuk mempercepatkan proses pembangunan negara.

Menjadi tanggungjawab rakyat generasi baru hari ini termasuk diri saya sendiri untuk mengenang dan menghayati erti kemerdekaan. Tugas kita pada hari ini adalah memenuhi dada dengan ilmu pengetahuan agar kemerdekaan yang dimiliki dapat dipertahankan dan dikekalkan. Tanpa ilmu pengetahuan, kemerdekaan yang baru sahaja diperolehi amat rapuh.



"Ya Allah..
Kami bersyukur padaMu diberi
nikmat hidup dalam negara yang
merdeka.

Merdekakanlah pula diri dan
pemikiran kami dari
pengaruh-pengaruh yang memisahkan kami
dari agamaMu.

Merdekakanlah jua negara-negara
saudara seIslam kami yang sedang
bergolak dari
golongan-golongan mereka yang zalim.

Merdekakanlah kami daripada
belenggu nafsu dan maksiat.

Amin Ya Rabbal 'Alamin."


Thursday, August 30, 2012

Fakta : Pelbagai Rahsia Kaabah di Mekah

Assalamualaikum w.b.t.

Hari ini saya ingin berkongsikan mengenai Kaabah di Mekah yang juga dikenali sebagai 'Rumah Allah'. Sudah menjadi kepastian umat Islam untuk menanam impian untuk pergi ke sana kerana ia antara rukun Islam yang wajib dilakukan oleh umat Islam ialah menunaikan Haji ke Baitullah (Mekah), namun kewajipannya dihadkan kepada yang berkemampuan.

Pada kebiasaanya, Rumah Allah ini iaitu Kaabah akan dipenuhi dengan berjuta-juta umat Islam pada musim Haji. Saya sudah mendaftar untuk pergi ke haji namun ilmu di dada masih belum mencukupi untuk ke sana, T.T Ayuh menyelami serba sedikit sejarah pembinaan Kaabah.

Sejarah pembinaan Kaabah


Sejarah ibadat haji di Tanah Suci Makkah bermula ketika Nabi Allah Adam dikirimkan ke bumi. Allah memerintahkan baginda mendirikan sebuah binaan seakan-akan sama dengan Baitul Makmur di langit. Binaan empat segi ini kemudian diberi nama Kaabah yakni ‘Rumah Allah’.

“Sesungguhnya rumah ibadat yang mula-mula sekali dibina untuk manusia ialah Baitullah di Makkah yang berkat dan menjadi petunjuk bagi umat manusia.” (Surah al-Imran, Ayat 96)

Sebaik saja semua urusan pembinaannya selesai, Allah memerintahkan Nabi Adam serta keluarganya mengerjakan ibadat tawaf di situ seperti yang dikerjakan oleh malaikat di Baitul Makmur. Baitullah, selain daripada menjadi tempat beribadat umat manusia dan jin, turut menjadi tempat tawaf semua malaikat yang ditugaskan di muka bumi ini. Keistimewaan Baitullah ialah kedudukannya yang selaras dengan kedudukan Baitul Makmur di langit.


Menurut riwayat Ibnu Abbas, Rasulullah menyebut Makkah dipilih sebagai tempat binaan Kaabah kerana kedudukannya yang selaras dengan kedudukan Baitul Makmur di alam malaikat. Baitul Makmur adalah tempat khas yang diciptakan Allah khusus untuk malaikat melakukan tawaf menggantikan tempat yang asal iaitu di Arasy. Ini kerana Arasy kawasannya amat luas dan sekiranya melakukan tawaf ia mungkin menjangkau waktu hingga ke hari kiamat.

Sebelum terciptanya Baitul Makmur, seluruh malaikat bertawaf di sekitar Arasy sambil beristighfar, bertasbih dan membesarkan Allah sebagai bukti kepatuhan mereka kepada Allah Yang Maha Agung. Kepatuhan mereka adalah susulan daripada satu peristiwa malaikat cuba mempersoalkan kewujudan Nabi Adam, manusia pertama di muka bumi.

“Sesungguhnya Aku akan mencipta di bumi seorang Khalifah. Lantas malaikat bertanya, apakah Engkau akan mencipta di sana seorang yang akan melakukan fasad (kerosakan) dan akan menumpahkan darah, pada hal kami sentiasa bertasbih kepada Engkau? Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang kamu tidak ketahui!”. (Surah al-Baqarah, Ayat 30)

Selepas Nabi Allah Adam wafat, binaan Kaabah beransur-ansur reput. Seterusnya, Allah memerintahkan salah seorang daripada putera Adam iaitu Syith untuk membina semula Kaabah di tempat sama. Namun, banjir besar yang melanda pada zaman Nabi Nuh, turut meruntuhkan binaan Kaabah sehinggalah Allah mengutuskan Nabi Ibrahim untuk membina kembali Kaabah. Mematuhi perintah Allah itu, Nabi Ibrahim dan anaknya, Nabi Ismail membina semula Kaabah di atas timbunan batu dan tanah liat daripada bekas binaan Kaabah yang pernah dibuat oleh Syith yang runtuh akibat banjir dan taufan pada zaman Nabi Nuh itu.



“Dan ketika Kami tentukan bagi Nabi Ibrahim tempat Kaabah (untuk membina, lalu Kami berfirman kepadanya): Janganlah engkau sekutukan sesuatu pun dengan-Ku dan bersihkanlah rumah-Ku (Kaabah ini) bagi orang yang tawaf dan orang yang berdiri dan yang rukuk serta yang sujud.

“Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat haji, nescaya mereka akan datang dengan berjalan kaki dan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai-bagai jalan yang jauh.”
(Surah al-Hajj, Ayat 26-27)

Beberapa ratus tahun selepas pembinaan Kaabah oleh Nabi Ibrahim, usaha membaik-pulih dan membina semula Kaabah telah dilaksanakan secara berterusan sehingga kini. Antaranya membaiki kerosakan tanpa mengubah bentuk atau ukuran Kaabah oleh kaum Analagh, Kaabah dibina semula oleh puak Jurhum selepas sebahagian dinding Kaabah runtuh kerana banjir besar di Kota Makkah.

  • Mekah adalah kawasan yang mempunyai graviti paling stabil.
  • Tekanan graviti yang tinggi, dan di situlah berpusatnya bunyi-bunyian membina yang tidak boleh didengar oleh telinga.
  • Tekanan graviti yang tinggi memberi kesan langsung kepada sistem imun badan untuk bertindak sebagai pertahanan daripada segala serangan penyakit.
  • Graviti tinggi = elektron ion negatif yang berkumpul di situ tinggi. Doa akan termakbul kerana di situ adalah tempat gema atau ruang dalam masa serentak.
  • Apa yang diniatkan di hati adalah gema yang tidak boleh didengar tetapi boleh dikesan frekuensinya. Pengaruh elektron menyebabkan kekuatan dalaman kembali tinggi, penuh bersemangat untuk melakukan ibadat, tidak ada sifat putus asa, mahu terus hidup, penyerahan diri sepenuhnya kepada Allah.
  • Gelombang radio tidak boleh mengesan kedudukan Kaabah.
  • Teknologi satelit tidak boleh meneropong apa yang ada di dalam Kaabah. Frekuensi radio tidak mungkin dapat membaca apa-apa yang ada di dalam Kaabah kerana tekanan graviti yang tinggi.

Sumber : Skop-Studions

Tuesday, August 28, 2012

Fakta : Keajaiban dan Keanehan Air Zam Zam

Assalamualaikum w.b.t.

Pada hari ini, saya ingin berkongsi mengenai air zam zam yang sering kita perolehi dari sahabat handai, kaum keluarga mahupun sanak saudara terutama sekali yang pulang dari Haji. Tidak ramai yang tahu bagaimana telaga zam-zam boleh mengeluarkan puluhan juta liter pada musim haji dan ia tidak pernah kering walaupun sekali. Seorang pengkaji diperintahkan oleh raja Faisal untuk menyelidik telaga zam-zam bagi menjawab tuduhan liar seorang doktor dari Mesir.

Berapa Juta Liter Air Zam-Zam?


Berapa banyak air zam-zam yang di ambil setiap kali musim haji? Mari kira secara rambang, Jemaah haji yang datang dari seluruh pelusuk dunia pada setiap musim haji ini berjumlah lebih kurang dua juta orang.

Semua jemaah diberi 5 liter air zam-zam ketika pulang ke tanah airnya, jika 2 juta orang membawa pulang masing-masing 5 liter air zam-zam ke negaranya, ini sahaja sudah menjadi 10 juta liter.

Disamping itu sepanjang berada di Mekah dan kebanyakannya jemaah tinggal 25 hari dan setiap orang menghabiskan 1 liter sehari maka jumlahnya sudah 50 juta liter.

Keanehan Air Zam-Zam

Tariq Hussain seorang jurutera kimia yang bekerja di Institut Penapisan Air Laut untuk diminum di Jedah, mendapat tugas untuk menyelidik telaga apabila diperintah oleh Raja Faisal untuk menyelidiki dan menghantar sampel air zam-zam ke Laboratorium-laboratorium di Eropah untuk diuji setelah seorang doktor dari Mesir mengatakan kepada akhbar di Eropah bahawa air zam-zam tidak sihat untuk diminum.

Pada masa memulakan tugasnya Tariq belum ada gambaran bagaimana telaga air zam-zam boleh menyimpan air yang begitu banyak seperti tidak ada hadnya. Ketika sampai di dalam sumur, Tariq amat terkejut apabila melihat bahawa ukuran “kolam” telaga itu hanya 18 x 14 kaki saja (Kira-kira 5 x 4 meter). Tidak terbayang bagaimana telaga sekecil ini boleh mengeluarkan jutaan galen air setiap kali musim haji, dan ini berlaku sejak ribuan tahun yang lalu semenjak zaman Nabi Ibrahim AS.


Penyelidikan menunjukkan bahawa mata air zam-zam boleh mengeluarkan air sebanyak 11-18 liter air per saat, dengan demikian setiap minit 660 liter air akan dihasilkan, itulah yang mengejutkan.

Tariq mula mengukur kedalaman air telaga dan meminta pembantunya masuk ke dalam air, ternyata air telaga itu hanya mencapai sedikit di atas bahu pembantunya yang tinggi tubuhnya 5 kaki 8 inci. Lalu dia menyuruh pembantunya untuk memeriksa, apakah mungkin ada cerukan atau saluran paip di dalamnya. Setelah memeriksa dari satu tempat ke tempat lainnya, ternyata tidak menemui apapun.

Dia berfikir mungkin sahaja air telaga ini diambil dari luar melalui saluran pam berkapisiti besar, jika itu keadaannya maka dia boleh melihat turun-naiknya permukaan air secara tiba-tiba. Tetapi dugaannya meleset, beliau tidak menemui gerakan air yang mencurigakan, juga tidak menemui ada alat yang boleh mendatangkan air dalam jumlah besar.

Seterusnya dia minta pembantunya masuk lagi ke dalam telaga, lalu menyuruh berdiri dan diam ditempatnya sambil mengamati sekelilingnya. Perhatikan dengan cermat dan laporkan apa yang terjadi walau sekecil apapun, setelah melakukan proses ini dengan cermat, pembantunya tiba-tiba mengangkat kedua tangannya sambil berteriak:

“Alhamdulillah, Saya temuinya ! Pasir halus menari-nari di bawah telapak kakiku, dan air itu keluar dari dasar telaga”.

Lalu pembantunya diminta berpusing mengelilingi telaga ketika tiba masa pengepaman air (untuk disalurkan ke tempat pengagihan air) berlaku. Dia merasakan bahawa air yang keluar dari dasar telaga sama besarnya seperti sebelum tempoh pengepaman. Aliran air yang keluar besarnya sama di setiap titik di semua kawasan, ini menyebabkan permukaan telaga itu stabil tidak ada goncangan yang besar.

Mengandungi Zat Anti Kuman


Hasil penyelidikan sampel air di Eropah dan Arab Saudi menunjukkan bahawa air zam-zam mengandungi zat fluorida yang ada daya efektif membunuh kuman, sama seperti sudah mengandungi ubat. Lalu perbezaan air zam-zam dibandingkan dengan air telaga lain di Mekah dan sekitar Arab adalah dalam hal kuantiti kalsium dan garam magnesium.

Kandungan kedua-kedua mineral itu sedikit lebih banyak pada air zam-zam, mungkin sebab itulah air zam-zam dapat menyegarkan bagi jemaah yang keletihan. Keistimewaan lain komposisi dan rasa kandungan garamnya sentiasa stabil sentiasa sama dari sejak terbentuknya telaga ini.


”Sesungguhnya, air zam-zam ini air yang sangat diberkahi, ia adalah makanan yang mengandungi gizi. Air zamzam bermanfaat untuk apa saja yang diniatkan ketika meminumnya. Jika engkau minum dengan maksud agar sembuh dari penyakitmu, maka Allah menyembuhkannya. Jika engkau minum dengan maksud supaya merasa kenyang, maka Allah mengenyangkan engkau. Jika engkau meminumnya agar hilang rasa hausmu, maka Allah akan menghilangkan dahagamu itu. Ia adalah air tekanan tumit Jibril, minuman dari Allah untuk Ismail”. (HR Daruqutni, Ahmad, Ibnu Majah, dari Ibnu Abbas)

Rasulullah (S.A.W.) pernah mengambil air zam-zam dalam sebuah kendi dan bekas dari kulit, kemudian membawanya kembali ke Madinah dan Air zam-zam itu digunakan Rasulullah (saw) untuk memercikkan kepada orang sakit dan kemudian disuruh meminumnya.

Sumber : Crew Fathi



Monday, August 27, 2012

Mutiara Doa Harian

Assalamualaikum w.b.t.

Hari ini saya ingin berkongsikan beberapa doa untuk memohon kepada Allah S.W.T. supaya badan kita sentiasa sihat pada setiap masa. Dibawah ini merupakan mutiara doa harian untuk diamalkan setiap hari yang diambil daripada sebuah wordpress, semoga Allah memberkati hidup kita semua.


Doa memohon akhlak terbaik dan rezeki yang berkat
“Ya Allah, semoga Engkau berkenan melimpahkan kesejahteraan ke atas penghulu kami Nabi Muhammad s.a.w dan selawat yang dapat melapangkan rezeki bagi kami dan menjadikan baiknya akhlak kami dan curahkanlah kesejahteraan atas keluarga dan sahabat-sahabatnya serta berikanlah keselamatan.”

Doa memohon kesihatan tubuh badan (baca pada waktu pagi dan petang)
“Ya Allah, kurniakanlah kesihatan pada tubuh badanku, Ya Allah kurniakanlah kesihatan pada telingaku, Ya Allah kurniakanlah kesihatan pada mataku, Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada kekufuran dan kepapaan, Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada kesengsaraan azab kubur, tiada Tuhan melainkan Engkau.”

Doa apabila terganggu dan terkejut ketika tidur atau rasa kesepian
“Aku memohon perlindungan dengan kalimah Allah yang sempurna daripada kemurkaan-Nya, azab-Nya, daripada kejahatan hamba-Nya, daripada hasutan syaitan dan daripada syaitan mendekatiku.”

Doa ketika sukar menyelesaikan sesuatu urusan
“Wahai Tuhanku, tidak ada yang mudah melainkan yang Engkau jadikannya mudah dan Engkau menghapuskan duka cita dengan mudah jika Engkau kehendaki.”

Doa ketika sesuatu penyakit merebak
“Aku berlindung membenteng diri kepada nama Tuhan yang mempunyai kemuliaan dan kekuatan, aku berpegang teguh pada Tuhan yang menguasai alam nyata dan alam ghaib, aku bertawakal kepada Tuhan yang hidup dan yang tidak mati selama-lamanya.

Semoga kiranya Engkau hindarkan kami Ya Allah daripada bala dan wabak. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”

Doa mohon perlindungan daripada kerunsingan
“Ya Allah sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada kerunsingan dan dukacita, aku berlindung kepada-Mu daripada kelemahan dan kemalasan, aku berlindung kepada-Mu daripada perasaan penakut dan bakhil dan aku berlindung kepada-Mu daripada belenggu hutang dan tekanan orang.”

Doa ketika keluar dari rumah
“Dengan nama Allah, aku bertawakal kepada-Nya dan tiada daya upaya kecuali dengan izin Allah”.

Doa untuk memudahkan sebarang urusan
“Ya Allah, tidak ada kemudahan kecuali sesuatu yang Engkau permudahkan, Engkau menjadikan kedukaan itu mudah sekiranya Engkau kehendaki.”

Doa apabila melihat orang mendapat bencana
“Segala puji bagi Allah yang menyelamatkan aku daripada penyakit atau bala yang mana kamu telah diuji dengannya dan telah memberi limpah kurnia yang nyata kepadaku melebihi kebanyakan orang.”

Doa ketika bangun dari tidur
“Segala puji bagi Allah yang membangunkan kami selepas ditidurkan-Nya dan kepada-Nya kami dibangkitkan.”

Rasulullah s.a.w bersabda: “Barang siapa yang bangun tidur di waktu malam, lalu membaca, Tiada tuhan selain Allah, Yang Maha Esa, tiada sekutu bagi-Nya. Bagi-Nya kerajaan dan pujian Dia-lah Yang Maha Kuasa atas segala sesuatu. Maha Suci Allah, segala puji bagi Allah, tiada Tuhan selain Allah. Allah Maha Besar, tiada daya dan kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah Yang Maha Tinggi dan Maha Agung. Kemudian, berdoa: “Wahai Tuhanku! Ampunilah dosaku." Maka dia akan diampuni.”

Doa ketika mengenakan pakaian
“Segala puji bagi Allah yang memberi pakaian ini kepadaku sebagai rezeki daripada-Nya tanpa daya dan kekuatan dariku.”

Doa ketika mengenakan pakaian baru
“Ya Allah, Engkaulah yang memberi pakaian ini kepadaku. Aku mohon kepada-Mu untuk mendapat kebaikannya dan kebaikan yang ia ciptakan kerananya. Aku berlindung kepada-Mu daripada kejahatannya dan kejahatan yang ia ciptakan kerananya.”

Doa mohon perlindungan daripada penyakit berat
“Wahai Allah, sesungguhnya aku berlindung diri kepada-Mu daripada penyakit sopak, gila, penyakit kusta dan penyakit berat.” (HR Abu Daud)

Doa anak untuk ibu bapa
“Ya Allah, ampunilah aku dan ampunilah kedua-dua ibu bapaku dan cucurilah rahmat kepada mereka sebagaimana mereka mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku ketika kecil.”

Sumber : Cinta Dear Haniey

Barangsiapa yang menempuh suatu jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah memudahkan jalannya untuk menuju syurga. Bahawasanya malaikat itu akan meletakkan naungan sayapnya pada orang yang menuntut ilmu kerana mensyukuri apa yang dilakukannya. Bahawasanya orang-orang yang berilmu pengetahuan adalah pewaris para Nabi. Bahawasanya para Nabi itu tidak mewarisi dirham atau dinar tetapi diwariskannya adalah ilmu. Oleh itu, barangsiapa yang mengambilnya (mendapatkan ilmu itu), ia telah menperoleh bahagian pusaka yang sangat banyak. (H.R. Abu Daud dan al-Turmudhi)

Sunday, August 26, 2012

Fakta / Auta : Duit Tahun 2012

Assalamualaikum w.b.t.

Lebih kurang seminggu telah menjalani bulan Syawal yang merupakan perayaan Hari Raya Aidilfitri bagi umat Islam. Budaya menerima dan memberi duit raya pastinya tidak akan dilupakan oleh masyarakat. Kanak-kanak terutamanya saya, sudah pastinya ingin menerima duit raya pada setiap tahun xD


Apa yang menarik pada tahun ini, pengumpulan wang kertas mahupun syiling yang baru sahaja dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) akan bermula termasuklah diri saya sendiri :) Terutama sekali wang kertas RM20 yang jarang dijumpai sejak dari kecil lagi, terharu sangat dapat RM20 baru. Kini, saya telah mempunyai semua set wang kertas baru kecuali wang kertas RM100, siapa yang ada bolehlah menukarkan ia dengan saya xD

Ayuh ke sesi fakta, untuk pengeahuan anda semua wang baru yang dikeluarkan adalah bertemakan “Keunikan Malaysia” yang memaparkan ekspresi tradisional berilhamkan seni dan kraf tangan, keajaiban alam semula jadi, flora dan fauna, ekonomi dan tradisi.

Wang Kertas RM100 – Keajaiban Alam Semula Jadi


Dua keajaiban alam semula jadi terkemuka negara yang diisytiharkan sebagai ‘Tapak Warisan Dunia’ oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dipaparkan pada wang kertas RM100. Keajaiban alam semula jadi yang dipaparkan pada duit kertas RM100 ini ialah Gunung Kinabalu, Sabah yang hebat dan agung serta pembentukan batu mercu batu kapur menakjubkan di lembah Gunung Api, Sarawak.

Wang Kertas RM50 – Pertanian dan Teknologi


Pada wang kertas RM50, gambar kelapa sawit dan bioteknologi dipaparkan sebagai satu ikon ekonomi yang sedang berkembang pesat dan boleh dibanggakan. Kelapa sawit telah menjadi tanaman pertanian negara yang paling utama dari segi ekonomi kerana Malaysia merupakan salah satu pengeluar dan pengeksport terbesar kelapa sawit di dunia.

Wang Kertas RM20 – Hidupan Laut


Setelah sekian lama duit RM20 diperkenalkan semula dengan meletakkan gambar keindahan dan hidupan laut di Malaysia. Duit kertas baru RM20 ini memaparkan gambar dua spesies penyu terkenal dan hanya dijumpai di perairan Malaysia iaitu Penyu Karah dan Penyu Belimbing.

Wang Kertas RM10 – Flora


Wang kertas baru RM10 berwarna merah dan memaparkan Hutan Tropika Malaysia yang tumbuh subur. Spesies Rafflesia Azlanii yang dipaparkan pada wang kertas RM10 baharu ini merupakan spesies asli Semenanjung Malaysia.

Wang Kertas RM5 – Hidupan Liar


Wang kertas baru RM5 bertemakan hidupan liar dan memaparkan gambar burung enggang. Burung Enggang Badak, iaitu salah satu spesies burung enggang terbesar dan paling mengagumkan di dunia.

Wang Kertas RM1 – Sukan Tradisional


Wang kertas RM1 masih mengekalkan gambar permainan tradisional, Wau di belakang wang tersebut tetapi dengan rekaan dan bentuk baru. Permainan wau merupakan sukan tradisional yang popular di Malaysia terutamanya di Kelantan dan Terengganu.


Sumber : Bank Negara Malaysia

Friday, August 24, 2012

Menepuk bahu Imam

Amalan menepuk atau mencuit bahu seseorang supaya dia menyedari akan kehadiran orang lain yang ingin solat berjemaah dengannya tidak haram kerana tiada nas yang melarang. Namun demikian, tidak ada dalil tentang keharusan amalan tersebut. Justeru, bagi mereka yang melakukan amalan tersebut, ia tidak salah.

Daripada Ibn Abbas, beliau berkata:
"Aku pernah solat bersama-sama Nabi s.a.w. pada suatu malam. Lalu, aku berdiri di sebelah kiri Baginda. Kemudian, Rasulullah s.a.w. memegang kepalaku dari arah belakangku dan Baginda menempatkan aku di sebelah kanannya." (HR al-Bukhari)

Sahabat Baginda s.a.w. tidak mencuit atau menepuk bahu Rasulullah s.a.w, sebaliknya hanya berdiri di sebelah Baginda s.a.w. Cara begini perlu dipraktikkan serta dibudayakan dalam masyarakat kita selari dengan amalan para sahabat yang diredhaiNya.


Jumhur ulamak (termasuk Imam Malik, Imam as-Syafiie, Imam Abu Hanifah) berpandangan bahawa, tidak disyaratkan imam berniat menjadi imam untuk sahnya solat berjemaah. Solat berjemaah tetap sah sekalipun orang yang menjadi imam tidak berniat menjadi imam. Yang disyaratkan ialah orang yang menjadi makmum wajib berniat mengikut imam, jika tidak batallah solatnya.

Pandangan Imam Ahmad pula, wajib imam berniat menjadi imam. Jika tidak, tidak terhasillah solat berjemaah. Dalam pandangannya yang lain, beliau membezakan antara solat fardhu dan solat sunat; dalam solat fardhu wajib imam berniat menjadi imam. Adapun dalam solat sunat, tidak wajib.


Jadi berdasarkan pandangan jumhur ulamak, tidak menjadi halangan untuk seorang yang asalnya solat bersendirian untuk berubah menjadi imam kerana tidaklah disyaratkan untuk sah solat berjamaahnya orang yang menjadi imam mesti berniat menjadi imam. Apabila kita solat di belakang seseorang dengan berniat menjadi makmum kepadanya, solat kita adalah sah dan kita akan mendapat pahala solat berjemaah sekalipun imam kita itu tidak berniat menjadi imam.

Namun menurut mazhab Imam Ahmad, perkara tersebut tidak harus (orang yang solat sendirian berubah menjadi imam) kerana menurut pandangan mereka, imam wajib berniat menjadi imam (dari awal solat hingga ke akhirnya). Oleh kerana ia mula solat tanpa niat menjadi imam, tidak haruslah kita mengerjakan solat berimamkannya.

Walau bagaimana pun menurut mazhab Syafiie, walaupun imam tidak wajib berniat menjadi imam, disunatkan ia meniatkannya agar ia turut mendapat pahala solat berjemaah. Tanpa berniat menjadi imam, ia tidak akan mendapat pahala solat berjamaah sekalipun makmum di belakangnya memperolehinya. Berdasarkan faktor inilah timbul keperluan untuk mencuit imam atau melakukan sebarang isyarat yang lain untuk memberitahunya bahawa ada orang ingin solat dibelakagnya agar ia berniat menjadi imam. Menurut fatwa dalam laman as-Syababah al-Islamiah (islamweb.com), harus memberi isyarat kepada imam itu sebelum masuk solat (sebelum takbiratul-ihram) atau selepasnya. Namun cara yang terbaik ialah memberi isyarat sebelum masuk solat agar imam dapat berniat menjadi imam lebih awal dan lebih panjang pahala jemaah yang diperolehinya.

Sumber : Ilmu dan Ulamak

Wednesday, August 22, 2012

Hukum Bermain Mercun

“Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu”. (Surah al-Maidah, ayat 3)

Assalamualaikum w.b.t.

Sebenarnya saya ingin berehat seketika daripada mengupdate blog, tetapi setelah mendengar dentuman sana sini di langit timbul perkara yang ingin dikongsikan bersama. Sudah menjadi kebiasaan pada setiap tahun, apabila tibanya Hari Raya Aidil Fitri kita akan mendengar letupan mercun.


Ia seringkali mengganggu masyarakat awam sekeliling dengan kebisingan bunyinya selain bahaya letupannya. Selagi ia tidak memberi mudarat pada diri atau orang lain, maka ia dibolehkan. Mercun yang membawa kepada kemudaratan / kecederaan diri atau orang lain adalah haram.

“Tidak halal bagi seorang muslim membuat muslim lain terkejut”. (Riwayat Abu Daud dan Ahmad)

من ضَارَّ أَضَرَّ الله بِهِ وَمَنْ شَاقَّ شَاقَّ الله عليه
"Barangsiapa yang membawa mudarat maka Allah akan memudaratkan dirinya sendiri, sesiapa yang menyusahkan orang lain, Allah akan menyuasahkannya pula".
(Riwayat Abu Daud)

Seterusnya, ia juga dikira sebagai suatu pembaziran juga kerana wang yang digunakan dikira dibakar begitu sahaja untuk menikmati letupan tersebut. Allah s.w.t mengurniakan kita harta untuk dibelanjakan sebaiknya dan bukan untuk mengikut hawa nafsu atas alasan kemeriahan lalu membeli pelbagai jenis mercun.


Oleh itu, rakan-rakan, sahabat-sahabat, adik-adik, abang-abang, akak-akak jangan lah bermain mercun. Jagalah tubuh badan yang sihat ini daripada bahana mercun. Semoga Allah s.w.t. melindungi diri kita ini hawa nafsu dan bisikan syaitan.

Sumber : Dr Maza
Untuk lihat biodata Dr Maza, sila Klik Sini.

Barangsiapa yang menempuh suatu jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah memudahkan jalannya untuk menuju syurga. Bahawasanya malaikat itu akan meletakkan naungan sayapnya pada orang yang menuntut ilmu kerana mensyukuri apa yang dilakukannya. Bahawasanya orang-orang yang berilmu pengetahuan adalah pewaris para Nabi. Bahawasanya para Nabi itu tidak mewarisi dirham atau dinar tetapi diwariskannya adalah ilmu. Oleh itu, barangsiapa yang mengambilnya (mendapatkan ilmu itu), ia telah menperoleh bahagian pusaka yang sangat banyak. (H.R. Abu Daud dan al-Turmudhi)

Monday, August 20, 2012

Puasa Enam

"Barangsiapa berpuasa ramadan kemudian diikuti puasa enam hari di bulan Syawal, pahalanya seperti puasa setahun”. (HR Muslim)

Menjadi kebiasaan kepada orang-orang Islam di Malaysia berpuasa sunat selama enam hari di bulan Syawal selepas mereka menamatkan puasa sebulan Ramadhan kerana meyakini ganjaran dan pahala yang akan dikurniakan oleh Allah s.w.t.

Pendapat di dalam mazhab Imam Syafie menyebut bahawa yang terlebih afdhal di dalam perlaksanaannya ialah sejurus selepas hari raya pertama dan dilakukan enam hari berturut-turut.

Ini tidak pula bermakna, jika seseorang itu melaksanakan secara terputus-putus (tidak berturutan) atau dilakukan pada pertengahan atau akhir Syawal dianggap satu kesalahan atau tidak mendapat pahala, malah semuanya diterima Allah dan dikira sebagai satu ibadah juga.

Perlu difahami bahawa yang dimaksudkan dengan puasa sepanjang tahun itu bukan terletak kepada puasa 6 hari Syawal dengan meninggalkan puasa Ramadhan, tetapi kelebihan puasa setahun itu diperolehi setelah dilengkapkan puasa Ramadhan dan disambung dengan puasa Syawal.

Para ulama mazhab Imam Syafie juga menyebut bahawa pahala puasa 6 Syawal itu akan terhasil juga apabila seseorang itu melakukan puasa qadha selama 6 hari walaupun niatnya adalah qadha dan bukan niat puasa 6 Syawal, tetapi pahalanyanya untuk puasa 6 Syawal itu kurang sedikit.

“Jika seseorang itu berpuasa di dalam bulan Syawal sebagai qadha daripada puasa Ramadhan atau puasa nazar atau lain-lain puasa sunat, maka akan diperolehi pahala sunat Syawal itu kerana terlaksananya puasa 6 hari dalam bulan Syawal tetapi kesempurnaan pahala tidak diperolehi sepenuhnnya melainkan jika diniatkan untuk puasa sunat 6 hari bulan Syawal”. (Imam Imam al-saya’rawi)

Sebagai kesimpulannya, adalah terlebih baik jika puasa sunat 6 Syawal dibuat berasingan dengan puasa lain sama ada qadha, nazar, kaffarah ataupun puasa sunat yang lain. Selesaikan dahulu 6 hari puasa qadha dan ditambah kemudiannya dengan niat puasa 6 Syawal. Ini akan lebih menyeragamkan amal ibadat yang dilakukan agar tidak bercampur aduk antara satu sama lain.

Sumber : Fiqh-Sunnah

Barangsiapa yang menempuh suatu jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah memudahkan jalannya untuk menuju syurga. Bahawasanya malaikat itu akan meletakkan naungan sayapnya pada orang yang menuntut ilmu kerana mensyukuri apa yang dilakukannya. Bahawasanya orang-orang yang berilmu pengetahuan adalah pewaris para Nabi. Bahawasanya para Nabi itu tidak mewarisi dirham atau dinar tetapi diwariskannya adalah ilmu. Oleh itu, barangsiapa yang mengambilnya (mendapatkan ilmu itu), ia telah menperoleh bahagian pusaka yang sangat banyak. (H.R. Abu Daud dan al-Turmudhi)

Assalamualaikum w.b.t.


Sunday, August 19, 2012

Ucapan Hari Raya

Saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri bersamaan 1 Syawal 1433H kepada semua umat Islam tidak kira pangkat, darjat, kaya, miskin, warna kulit, rupa, kaum, bangsa dan sebagainya.

Di kesempatan ini, saya ingin memohon ribuan ampun dan maaf sekali lagi sekiranya apa yang tertulis dan tersiar di blog ini tidak menyenangkan atau telah melukakan hati anda semua, atau dengan komen-komen dari saya anda semua berkecil hati.

Hari ini saya ingin kongsikan mengenai ucapan Minal Aidin Wal Faidzin yang sering dilafazkan oleh segelintir masyarakat terutama sekali dari Indonesia. Saya telah membaca beberapa artikel mengenai perkataan ini di beberapa blog dan website yang tidak sesuai untuk digunakan semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Berkemungkinan mereka beranggapan bahawa maksud perkataan tersebut adalah mohon maaf zahir dan batin. Terjemahan ucapan ini adalah, "dari orang yang kembali dan orang-orang yang menang." Jika dilihat dari maksud lengkapnya adalah ”Semoga anda termasuk orang-orang yang kembali (ke jalan Tuhan) dan termasuk orang yang menang (melawan hawa nafsu). Makanya, adalah kesalahan besar jika kita menyama ertikan Minal Aidin Wal Faizin dengan mohon maaf zahir dan batin.

Oleh itu, apakah perkataan yang harus digantikan dengan ucapan tersebut. Rasulullah s.a.w. pada kebiasaannya mengucapkan Taqabbalallahu minna wa minkum kepada para sahabat, yang membawa maksud semoga Allah s.w.t. menerima aku dan kalian. Maksud menerima di sini adalah menerima segala amal dan ibadah kita di bulan Ramadhan. Selain itu, beberapa sahabat juga menambahkan ucapan Shiyamana wa shiyamakum, yang membawa puasaku dan puasa kalian.

Itu sahaja untuk kali ini, :) Hanya berkongsi ilmu dari pembacaan artikel-artikel di internet. Yang Baik Dijadikan Teladan Dan Yang Buruk Dijadikan Sempadan, adakalanya kesalahan itu membuatkan seseorang itu memperbaiki diri.

Akhir kata, Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri. Taqabbalallahuminna wa minkum, Shiyamana wa Shiyamakum.



Thursday, August 16, 2012

Selamat Hari Raya Aidilfitri 1433H

Ahlan wa sahlan


Ramadhan akan berlalu,
jiwa bersih membalut kalbu,
dengan kerendahan hati,
mohon diberi maaf yang suci,

Ampun dan maaf andainya diriku ini...
terkasar bahasa dalam bicara,
tersilap bicara semasa bersama,
termarah yang tak kena tempatnya,
tertanya tak tentu hala,
tersasul yang tak sengaja,
terpukul kat mana-mana,
terpekik kuat di telinga,
terhantuk terketuk di kepala,
terpinjam terambil harta benda,
termoody tak semena-mena,
terumpat bila ada cerita,
termacam-macam yang kena-mengena,
di hari yang mulia ini, sepuluh jari ku hulurkan semua,
memohon kemaafan atas segala dosa yang ada,
kerana aku masih bernama manusia,
pastinya tak lepas membuat dosa,
semoga dimaafkan,
Salam Aidil Fitri 1433H

Taqabbalallahuminna wa minkum, Shiyamana wa Shiyamakum
Assalamualaikum w.b.t.



Monday, August 13, 2012

Masjid Naji Al-Hamsyari (Galeri)

Assalamualaikum w.b.t. disini saya ingin berkongsi gambaran dalaman dan luaran Masjid Naji Al-Hamsyari kerana ada seorang yang ingin melihat gambaran masjid ini. Untuk lihat post mengenai masjid ini, sila klik SINI.


Hari Perasmian




Friday, August 10, 2012

10 Malam Terakhir Ramadhan


Ada tugasan terakhir yang paling penting dalam sisa malam-malam Ramadhan iaitu mencari Malam Lailatul Qadar malam yang lebih baik dari 1000 bulan.

"Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Quran ini pada malam al-Qadar. Apakah yang kebesaran yang terdapat pada malam al-Qadar? Malam al-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, para malaikat dan Jibril turun dengan izin Tuhan mereka kerana membawa segala perkara yang ditakdirkan berlaku pada tahun berikutnya. Sejahteralah malam itu hingga terbit fajar." (Surah al-Qadr, ayat 1-5)

Bukan mudah untuk mencari Malam Lailatul Qadar yang tepat kerana itu adalah Rahsia Allah s.w.t. supaya umat manusia berusaha bersungguh mencari Malam Lailatul Qadar. Hanya ada tips untuk menemui Malam Lailatul Qadar iaitu dengan beramal bersungguh-sungguh pada setiap malam 10 yang akhir di bulan Ramadhan dengan memperbanyakkan Qiamulai, Berzikir, Membaca Al Quran dan Berdoa memohon keampunan dan keredhaan ALLAH SWT.

Insyallah dengan kita beramal setiap malam 10 akhir Ramadhan pasti salah satu malam tersebut adalah Malam Lailatul Qadar. Jangan lupa untuk mendoakan semua umat dan makhluk seluruh alam insyallah Malaikat akan mendoakan kebaikan untuk kita kembali.

"Carilah Lailatul Qadar pada malam-malam yang ganjil pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadan". (HR Bukhari)

Maka dengan itu pada Ramadhan kali ini, marilah kita korbankan sedikit masa untuk memulakan kembara mencari Lailatul Qadar yang ianya insyallah akan merubah kehidupan kita, keluarga kita dan masyarakat di sekeliling kita.


Tuesday, August 7, 2012

Masjid Naji Al-Hamsyari

Masjid ini yang bentuknya mempunyai ciri-ciri senibina islam moden. Masjid ini dibina di atas satu kawasan tanah yang luasnya 4.2 ekar, keluasan ini mampu menampung seramai 3200 jemaah lelaki didalam masjid dan 400 jemaah lelaki di kawasan luar masjid, dan 400 jemaah wanita di dalam masjid. Kos pembinaan masjid ini menghampiri 4 juta dan 500 ribu dinar.

Menurut penderma, IR Hassan Naji AL-Hamsyari, masjid ini dibina atas dasar agama dan ingin menjadi pahala yang berterusan kepada kami. Corak moden dalam bangunan masjid ini telah dibina khas bagi menyamai dengan alam sekitar khususnya permaidani, batu-bata dan tiang-tiang.

Masjid yang menempatkan hiasan Islam pada dinding dalaman dan luaran, dibina menggunakan ukiran batu marmar dan kayu.

Apa yang saya ingin kongsikan ialah, salah seorang mahasiswa dari Malaysia iaitu Muhammad Nawawi Bin Abdul Raof dari Universiti Al al-Bayt telah diberi penghormatan untuk mengimami solat Jumaat pada hari perasmian masjid tersebut. Beliau juga telah dilantik sebagai imam kepada masjid yang baru dirasmikan itu.

Yang lebih istimewa, antara makmumnya adalah Raja Abdullah II yang mendirikan solat Jumaat bersama-sama rakyat jelata di masjid yang terletak di kawasan Khaldan Amman.


Sungguh indah jika diberi peluang seperti beliau, Alhamdulillah, ˆ⌣ˆ Yang baik itu datangnya dari Allah s.w.t. dan segala keburukan, kesalahan dan kesilapan datangnya dari diri saya sendiri. Disini saya ingin memohon maaf sekiranya ada melakukan kesilapan ataupun terkasar bahasa. Selamat menghayati malam lailatul qadar pada 10 malam terakhir Ramadhan.

Sumber : Alrai.com

Sunday, August 5, 2012

Solat Sunat Witir

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

Setelah selesai Solat Tarawih, sebelum meneruskan solat sunat Witir. Bilal akan menyeru:


Disambut jama’ah dengan lafaz:


Cara Solat Witir, sila klik sini.

Sebenarnya saya ingin berkongsi mengenai doa qunut pada solat witir. Doa qunut ketika solat sunat witir boleh dilakukan selepas berdiri tegak dari rukuk, iaitu sebelum melakukan sujud pertama.

Daripada Ubai Ka'ab:
"Rasulullah s.a.w. melakukan qunut dalam solat witir sebelum rukuk." (Riwayat Abu Daud)

Sunat membaca doa qunut ketika solat witir dan kebiasaanya dilakukan pada pertengahan bulan Ramadhan iaitu semalam (4/8/2012) bersamaan 16 Ramadhan sehingga akhirnya.

Sekadar perkongsian, semoga Allah memberikan pengampunan dan keberkatan kepada kita semua di dalam bulan yang penuh kemuliaan ini.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...