Adverts

Thursday, August 2, 2012

Adab Berbuka Puasa

1. Berdoa

Kita boleh berdoa apa sahaja yang dihajati kerana di antara waktu yang mustajab (makbul) untuk berdoa adalah ketika berbuka puasa. Sabda Rasulullah S.A.W. :

“Sesungguhnya doa yang tidak ditolak bagi orang berpuasa itu ialah ketika dia berbuka.” (HR Ibn Majah)

2. Menyegerakan berbuka puasa

Disunnahkan juga kita supaya menyegerakan berbuka puasa. Waktu paling afdal ialah ketika matahari mula terbenam atau semasa dilaungkan azan Maghrib. Sabda Rasulullah S.A.W. :

“Manusia akan sentiasa berada di dalam kebaikan selagi mereka sentiasa menyegerakan berbuka puasa.” (HR al-Bukhari)

3. Berbuka puasa dengan Kurma atau Air

Berbuka puasa dengan buah rutab (kurma yang sudah masak dan tidak dikeringkan - lembut dan manis), tamar (yang telah dikeringkan) atau air merupakan sunnah Nabi S.A.W.

“Rasulullah S.A.W. berbuka puasa sebelum solat (Maghrib) dengan rutab. Jika tiada rutab, baginda akan berbuka dengan tamar dan jika tiada tamar, baginda akan meneguk beberapa teguk air.” (HR Imam al-Tirmizi)

4. Bersegera mengerjakan Solat Maghrib

Hadis di atas tidak menafikan bahawa Rasulullah s.a.w juga menyegerakan Solat Maghrib setelah berbuka puasa dengan rutab, tamar atau air. Namun, sekiranya makanan malam telah terhidang disunnahkan menjamah makan malam terlebih dahulu walaupun solat belum didirikan. Setelah selesai menikmati hidangan, bersegeralah mengerjakan Solat Maghrib. Sabda Rasulullah S.A.W. :

“Apabila seseorang dihidangkan makan malam sedangkan solat (jemaah) belum didirikan, utamakanlah makan malam. Janganlah seseorang itu tergopoh-gapah menghabiskan makanan itu sehinggalah dia selesai dalam keadaan tenang.” (HR al-Bukhari)

5. Berbuka secara sederhana

Perlu diingatkan bahawa waktu berbuka puasa bukan dijadikan medan untuk kita melepas geram kerana sehari suntuk tidak menjamah makanan atau minuman. Sewajarnya, ibadah puasa dijadikan medan untuk melatih jiwa seorang muslim yang bertakwa lagi penyabar direalisasikan ketika berbuka puasa dengan memakan makanan pada kadar yang tidak berlebihan.

“Wahai Bani Adam! Pakailah pakaian kamu yang indahsetiap kali kamu ingin ke tempat ibadat (mengerjakan solat) dan makan minumlah serta janganlah kamu melampau. Sesungguhnya Allah tidak suka orang-orang yang melampaui batas.” (Surah al-A’raaf, Ayat 31)

6. Menjamu makanan berbuka bagi orang yang berpuasa

Menjamu makan berbuka puasa telah dijanjikan dengan ganjaran pahala yang begitu besar. Semakin ramai jumlah orang yang dijamu, semakin tinggilah jumlah gandaan pahalanya. Sabda Rasulullah S.A.W. :

“Sesiapa yang menjamu makanan untuk berbuka bagi orang yang berpuasa, pahalanya sama seperti pahala orang yang berpuasa, iaitu pahala orang yang berpuasa yang tidak dikurangkan walau sedikit.” (HR al-Tirmizi)

Sumber : IbnIsmail


2 comments:

✿Lady Ainaa✿ said...

terima kasih sharekan all this info... ena masa azan, makan kurma dengan minum air terlebih dahulu, lepas tu solat and then makan berat.. ^.^ semoga ramadhan kali ini lebih diberkati

Muhammad Firdaus Bin Kamarudin said...

Alhamdulillah, sama-sama :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...