Adverts

Friday, August 24, 2012

Menepuk bahu Imam

Amalan menepuk atau mencuit bahu seseorang supaya dia menyedari akan kehadiran orang lain yang ingin solat berjemaah dengannya tidak haram kerana tiada nas yang melarang. Namun demikian, tidak ada dalil tentang keharusan amalan tersebut. Justeru, bagi mereka yang melakukan amalan tersebut, ia tidak salah.

Daripada Ibn Abbas, beliau berkata:
"Aku pernah solat bersama-sama Nabi s.a.w. pada suatu malam. Lalu, aku berdiri di sebelah kiri Baginda. Kemudian, Rasulullah s.a.w. memegang kepalaku dari arah belakangku dan Baginda menempatkan aku di sebelah kanannya." (HR al-Bukhari)

Sahabat Baginda s.a.w. tidak mencuit atau menepuk bahu Rasulullah s.a.w, sebaliknya hanya berdiri di sebelah Baginda s.a.w. Cara begini perlu dipraktikkan serta dibudayakan dalam masyarakat kita selari dengan amalan para sahabat yang diredhaiNya.


Jumhur ulamak (termasuk Imam Malik, Imam as-Syafiie, Imam Abu Hanifah) berpandangan bahawa, tidak disyaratkan imam berniat menjadi imam untuk sahnya solat berjemaah. Solat berjemaah tetap sah sekalipun orang yang menjadi imam tidak berniat menjadi imam. Yang disyaratkan ialah orang yang menjadi makmum wajib berniat mengikut imam, jika tidak batallah solatnya.

Pandangan Imam Ahmad pula, wajib imam berniat menjadi imam. Jika tidak, tidak terhasillah solat berjemaah. Dalam pandangannya yang lain, beliau membezakan antara solat fardhu dan solat sunat; dalam solat fardhu wajib imam berniat menjadi imam. Adapun dalam solat sunat, tidak wajib.


Jadi berdasarkan pandangan jumhur ulamak, tidak menjadi halangan untuk seorang yang asalnya solat bersendirian untuk berubah menjadi imam kerana tidaklah disyaratkan untuk sah solat berjamaahnya orang yang menjadi imam mesti berniat menjadi imam. Apabila kita solat di belakang seseorang dengan berniat menjadi makmum kepadanya, solat kita adalah sah dan kita akan mendapat pahala solat berjemaah sekalipun imam kita itu tidak berniat menjadi imam.

Namun menurut mazhab Imam Ahmad, perkara tersebut tidak harus (orang yang solat sendirian berubah menjadi imam) kerana menurut pandangan mereka, imam wajib berniat menjadi imam (dari awal solat hingga ke akhirnya). Oleh kerana ia mula solat tanpa niat menjadi imam, tidak haruslah kita mengerjakan solat berimamkannya.

Walau bagaimana pun menurut mazhab Syafiie, walaupun imam tidak wajib berniat menjadi imam, disunatkan ia meniatkannya agar ia turut mendapat pahala solat berjemaah. Tanpa berniat menjadi imam, ia tidak akan mendapat pahala solat berjamaah sekalipun makmum di belakangnya memperolehinya. Berdasarkan faktor inilah timbul keperluan untuk mencuit imam atau melakukan sebarang isyarat yang lain untuk memberitahunya bahawa ada orang ingin solat dibelakagnya agar ia berniat menjadi imam. Menurut fatwa dalam laman as-Syababah al-Islamiah (islamweb.com), harus memberi isyarat kepada imam itu sebelum masuk solat (sebelum takbiratul-ihram) atau selepasnya. Namun cara yang terbaik ialah memberi isyarat sebelum masuk solat agar imam dapat berniat menjadi imam lebih awal dan lebih panjang pahala jemaah yang diperolehinya.

Sumber : Ilmu dan Ulamak

2 comments:

✿Lady Ainaa✿ said...

nk tanya, kalau solat sunat, boleh masbu' ke???? sbb kdg2 kita tak tahu org tu solat wajib or sunat...

Muhammad Firdaus Bin Kamarudin said...

Harus hukumnya solat sunat selain daripada solat sunat Hari Raya, sunat Gerhana, solat minta hujan dan solat witir di dalam bulan Ramadhan dilakukan secara berjemaah.

Para ulamak menjelaskan sah seorang yang menunaikan solat fardu solat berimamkan orang yang menunaikan solat sunat.

Untuk maklumat lebih lanjut, boleh baca disini http://komuniti.iluvislam.com/topic/1139-solat-fardhu-berimamkan-orang-solat-sunat/

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...