Adverts

Monday, August 20, 2012

Puasa Enam

"Barangsiapa berpuasa ramadan kemudian diikuti puasa enam hari di bulan Syawal, pahalanya seperti puasa setahun”. (HR Muslim)

Menjadi kebiasaan kepada orang-orang Islam di Malaysia berpuasa sunat selama enam hari di bulan Syawal selepas mereka menamatkan puasa sebulan Ramadhan kerana meyakini ganjaran dan pahala yang akan dikurniakan oleh Allah s.w.t.

Pendapat di dalam mazhab Imam Syafie menyebut bahawa yang terlebih afdhal di dalam perlaksanaannya ialah sejurus selepas hari raya pertama dan dilakukan enam hari berturut-turut.

Ini tidak pula bermakna, jika seseorang itu melaksanakan secara terputus-putus (tidak berturutan) atau dilakukan pada pertengahan atau akhir Syawal dianggap satu kesalahan atau tidak mendapat pahala, malah semuanya diterima Allah dan dikira sebagai satu ibadah juga.

Perlu difahami bahawa yang dimaksudkan dengan puasa sepanjang tahun itu bukan terletak kepada puasa 6 hari Syawal dengan meninggalkan puasa Ramadhan, tetapi kelebihan puasa setahun itu diperolehi setelah dilengkapkan puasa Ramadhan dan disambung dengan puasa Syawal.

Para ulama mazhab Imam Syafie juga menyebut bahawa pahala puasa 6 Syawal itu akan terhasil juga apabila seseorang itu melakukan puasa qadha selama 6 hari walaupun niatnya adalah qadha dan bukan niat puasa 6 Syawal, tetapi pahalanyanya untuk puasa 6 Syawal itu kurang sedikit.

“Jika seseorang itu berpuasa di dalam bulan Syawal sebagai qadha daripada puasa Ramadhan atau puasa nazar atau lain-lain puasa sunat, maka akan diperolehi pahala sunat Syawal itu kerana terlaksananya puasa 6 hari dalam bulan Syawal tetapi kesempurnaan pahala tidak diperolehi sepenuhnnya melainkan jika diniatkan untuk puasa sunat 6 hari bulan Syawal”. (Imam Imam al-saya’rawi)

Sebagai kesimpulannya, adalah terlebih baik jika puasa sunat 6 Syawal dibuat berasingan dengan puasa lain sama ada qadha, nazar, kaffarah ataupun puasa sunat yang lain. Selesaikan dahulu 6 hari puasa qadha dan ditambah kemudiannya dengan niat puasa 6 Syawal. Ini akan lebih menyeragamkan amal ibadat yang dilakukan agar tidak bercampur aduk antara satu sama lain.

Sumber : Fiqh-Sunnah

Barangsiapa yang menempuh suatu jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah memudahkan jalannya untuk menuju syurga. Bahawasanya malaikat itu akan meletakkan naungan sayapnya pada orang yang menuntut ilmu kerana mensyukuri apa yang dilakukannya. Bahawasanya orang-orang yang berilmu pengetahuan adalah pewaris para Nabi. Bahawasanya para Nabi itu tidak mewarisi dirham atau dinar tetapi diwariskannya adalah ilmu. Oleh itu, barangsiapa yang mengambilnya (mendapatkan ilmu itu), ia telah menperoleh bahagian pusaka yang sangat banyak. (H.R. Abu Daud dan al-Turmudhi)

Assalamualaikum w.b.t.


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...