Adverts

Saturday, September 29, 2012

13 Perkara Yang Perlu Wanita Islam Jaga

Assalamualaikum w.b.t.

1. Bulu kening

Menurut Bukhari, Rasullulah melaknat perempuan yang mencukur atau menipiskan bulu kening atau meminta supaya dicukurkan bulu kening – Petikan dari Hadis Riwayat Abu Daud Fi Fathil Bari.

2. Kaki (tumit kaki) semacam hantu loceng

Dan janganlah mereka (perempuan) membentakkan kaki (atau mengangkatnya) agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan – Petikan dari Surah An-Nur Ayat 31. Keterangan : Menampakkan kaki dan menghayunkan/ melenggokkan badan mengikut hentakan kaki terutamanya pada mereka yang mengikatnya dengan loceng…sama juga seperti pelacur dizaman jahiliyah.

3. Wangian

Siapa sahaja wanita yang memakai wangi-wangian kemudian melewati suatu kaum supaya mereka itu mencium baunya, maka wanita itu telah dianggap melakukan zina dan tiap-tiap mata ada zinanya terutamanya hidung yang berserombong kapal kata orang sekarang hidong belang – Petikan dari Hadis Riwayat Nasaii, Ibn Khuzaimah dan Hibban.

4. Dada

Hendaklah mereka (perempuan) melabuhkan kain tudung hingga menutupi bahagian hadapan dada-dada mereka – Petikan dari Surah An-Nur Ayat 31.

5. Gigi

Rasullulah melaknat perempuan yang mengikir gigi atau meminta supaya dikikirkan giginya – Petikan dari Hadis Riwayat At-Thabrani, Dilaknat perempuan yang menjarangkan giginya supaya menjadi cantik, yang merubah ciptaan Allah – Petikan dari Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.

6. Muka dan leher

Dan tinggallah kamu (perempuan) di rumah kamu dan janganlah kamu menampakkan perhiasan mu seperti orang jahilliah yang dahulu. Keterangan : Bersolek (make-up) dan menurut Maqatil sengaja membiarkan ikatan tudung yang menampakkan leher seperti orang Jahilliyah.

7. Muka dan Tangan

Asma Binte Abu Bakar telah menemui Rasullulah dengan memakai pakaian yang tipis. Sabda Rasullulah: Wahai Asma! Sesungguhnya seorang gadis yang telah berhaid tidak boleh baginya menzahirkan anggota badan kecu ali pergelangan tangan dan wajah saja – Petikan dari Hadis Riwayat Muslim dan Bukhari.

8. Tangan

Sesungguhnya kepala yang ditusuk dengan besi itu lebih baik daripada menyentuh kaum yang bukan sejenis yang tidak halal baginya – Petikan dari Hadis Riwayat At Tabrani dan Baihaqi.

9. Mata

Dan katakanlah kepada perempuan mukmin hendaklah mereka menundukkan sebahagian dari pemandangannya – Petikan dari Surah An Nur Ayat 31.

Sabda Nabi Muhamad SAW, Jangan sampai pandangan yang satu mengikuti pandangan lainnya. Kamu hanya boleh pandangan yang pertama sahaja manakala pandangan seterusnya tidak dibenarkan hukumnya haram – Petikan dari Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Tirmidzi.

10. Mulut (suara)

Janganlah perempuan-perempuan itu terlalu lunak dalam berbicara sehingga berkeinginan orang yang ada perasaan serong dalam hatinya, tetapi ucapkanlah perkataan-perkataan yang baik – Petikan dari Surah Al Ahzab Ayat 32.

Sabda SAW, Sesungguhnya akan ada umat ku yang minum arak yang mereka namakan dengan yang lain, iaitu kepala mereka dilalaikan oleh bunyi-bunyian (muzik) dan penyanyi perempuan, maka Allah akan tenggelamkan mereka itu dalam bumi – Petikan dari Hadis Riwayat Ibn Majah.

11. Kemaluan

Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan mukmin, hendaklah mereka menundukkan pandangan mereka dan menjaga kehormatan mereka – Petikan dari Surah An Nur Ayat 31.

Apabila seorang perempuan itu solat lima waktu, puasa di bulan Ramadan, menjaga kehormatannya dan mentaati suaminya, maka masuklah ia ke dalam Syurga daripada pintu-pintu yang ia kehendakinya – Hadis Riwayat Riwayat Al Bazzar.

Tiada seorang perempuan pun yang membuka pakaiannya bukan di rumah suaminya, melainkan dia telah membinasakan tabir antaranya dengan Allah – Petikan dari Hadis Riwayat Tirmidzi, Abu Daud dan Ibn Majah.

12. Pakaian

Barangsiapa memakai pakaian yang berlebih-lebihan terutama yang menjolok mata , maka Allah akan memberikan pakaian kehinaan di hari akhirat nanti – Petikan dari Hadis Riwayat Ahmad, Abu D , An Nasaii dan Ibn Majah.

Petikan dari Surah Al Ahzab Ayat 59. Bermaksud : Hai nabi-nabi katakanlah kepada isteri-isterimu, anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin, hendaklah mereka memakai baju jilbab (baju labuh dan longgar) yang demikian itu supaya mereka mudah diken ali . Lantaran itu mereka tidak diganggu. Allah maha pengampun lagi maha penyayang.

Sesungguhnya sebilangan ahli Neraka ialah perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi telanjang yang condong pada maksiat dan menarik orang lain untuk melakukan maksiat. Mereka tidak akan masuk Syurga dan tidak akan mencium baunya – Petikan dari Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim. Keterangan : Wanita yang berpakaian tipis/jarang, ketat/ membentuk dan berbelah/membuka bahagian-bahagian tertentu.

13. Rambut

Wahai anakku Fatimah! Adapun perempuan-perempuan yang akan digantung rambutnya hingga mendidih otaknya dalam Neraka adalah mereka itu di dunia tidak mahu menutup rambutnya daripada dilihat oleh lelaki yang bukan mahramnya – Petikan dari Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.

Sumber : CahayaIslam

Saya hanya berkongsi beberapa entri yang telah saya baca daripada beberapa laman web. Maaf, kerana kesibukan masa untuk mengulangkaji pelajaran -.-" Final exam akan bermula beberapa hari sahaja lagi. Doakan saya dan rakan supaya sukses dalam ujian yang akan berlansung pada hari Isnin ini. Insya'Allah dengan doa kalian, kami akan dapat menjawab ujian dengan hati yang tenang. Sekian, terima kasih. Maaf juga jika tiada kesempatan untuk blogwalking dalam beberapa hari ini, ><

Friday, September 28, 2012

22 Tanda Hari Kiamat Semakin Hampir

1. Sembahyang diabaikan (diringan-ringankan).

2. Keinginan nafsu syahwat digalakkan dan berleluasa disebarkan melalui iklan, buku, gambar, risalah atau filem.

3. Penjenayah menjadi pemimpin dan kebanyakannya jahil mengenai agama dan banyak memberi fatwa yang menyesatkan pengikutnya.


4. Perkara benar menjadi salah dan salah menjadi benar. Sukar untuk membezakan perkara halal dan haram kerana yang haram dianggap halal serta sebaliknya.

5. Berbohong menjadi satu keperluan dalam hidup dan menganggap jika tidak berbohong sukar untuk hidup senang.

6. Membayar zakat (harta, perniagaan dan pendapatan) dianggap beban.

7. Orang yang hidup mengikut kehendak agama ditindas dan hati mereka sentiasa merintih kerana maksiat berleluasa tetapi mereka tidak mampu mencegahnya.

8. Turun hujan di luar musimnya dan hujan tidak memberi keuntungan kepada makhluk di muka bumi.

9. Fenomena lelaki berkahwin dengan lelaki (homoseksual) dan perempuan berkeinginan kepada perempuan (lesbian) semakin menjadi-jadi.

10. Perempuan menguasai lelaki dengan memakai ubat guna-guna, sihir dan amalan syaitan lain.

11. Anak-anak mengingkari dan menderhaka ibu bapa (ibu bapa menjadi kuli dan anak menjadi tuan).

12. Kawan baik dilayan dengan kasar, manakala musuh diberi layanan baik. Kawan disangka lawan dan musuh dianggap sahabat serta memusuhi orang yang mengajak berbuat kebaikan.


13. Dosa dipandang ringan malah bangga melakukannya seperti zina, minum arak, bergaul bebas antara lelaki dan perempuan, meninggalkan sembahyang, mendedahkan aurat dan berjudi.

14. Masjid dihias indah tetapi kosong, terpulau, berkunci dan banyak berlaku kecurian barang masjid yang berharga.

15. Ramai yang sembahyang tetapi munafik dan berpura-pura. Di dalam sembahyang berjanji akan mengikut suruhan Allah tetapi di luar sembahyang melanggar perintahNya.

16. Akan datang golongan manusia dari Barat menguasai mereka yang lemah (iman) dan ramai terpengaruh dengannya seperti mengikut cara mereka berpakaian, bergaul dan suka berpesta.


17. Al-Quran dicetak dengan indah tetapi hanya dijadikan perhiasan dan jarang dibaca serta diamalkan kehendaknya.

18. Amalan riba berleluasa hingga orang alim pun terjebak sama.

19. Darah manusia tidak berharga, sering berlaku pembunuhan, peperangan dan jenayah.

20. Penganut Islam tidak mahu mengamalkan suruhan agama dan tidak mahu membela serta menyebarkannya.

21. Akan bertambah banyak penyanyi wanita (wanita yang tidak beriman adalah senjata syaitan yang baik).

22. Ramai orang kaya pergi umrah dan haji dengan tujuan melancong, yang sederhana pergi untuk berniaga dan yang miskin bermaksud meminta sedekah.

Sumber : MyIbrah

Thursday, September 27, 2012

Malu Sebahagian Daripada Iman

Assalamualaikum w.b.t.

Zaman mutakhir ini memperlihatkan kepada kita pelbagai kepincangan berlaku antaranya merosotnya akhlak dan tersebarnya kemaksiatan. Sebahagian manusia hilang rasa malunya kepada orang lain. Disebabkan hilangnya perasaan malu, pelbagai tingkah laku tidak senonoh ditonjolkan.

Malu adalah sebahagian daripada iman. Sifat malu sangat penting untuk dimiliki setiap Muslim. Malah Nabi sendiri adalah insan yang sangat pemalu.

Diriwayatkan oleh Bukhari, Rasulullah lebih malu sifatnya dari seorang gadis. Itulah pentingnya memiliki sifat malu kerana jika ada perasaan malu, seseorang Muslim dapat mencegah dirinya dari membuat perkara yang dilarang.

Mereka akan malu untuk melakukan perkara tidak senonoh, maksiat dan malu untuk pergi ke tempat yang tidak sepatutnya. Dari Abu Mas’ud Uqbah bin Amr Al-Anshari Al-Badri, beliau berkata: Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya sebahagian ajaran yang masih dikenal umat manusia dari perkataan para nabi terdahulu adalah: ‘Bila kamu tidak malu, berbuatlah sesukamu.” (HR Bukhari)


Malu adalah antara ajaran yang tidak luput hingga sekarang. Ia menunjukkan malu mempunyai nilai yang tinggi di dalam agama. “Bila kamu tidak malu, berbuatlah sesukamu” bukanlah kata-kata galakan kepada manusia untuk melakukan sesuka hati mereka.

Ia bermaksud ancaman buat manusia yang tidak mempunyai perasaan malu untuk berbuat kerosakan dan kemaksiatan. Maksud ayat itu juga adalah untuk memberitahu malu adalah perisai kepada diri seseorang.

Pernah diriwayatkan, terdapat seorang Ansar yang memberikan nasihat kepada sahabatnya mengenai sifat malu. Beliau menyalahkan sahabatnya yang selalu malu dalam banyak hal.

Kebetulan ketika itu Rasulullah sedang lalu dan terdengar perbualan mereka berdua. Baginda berpesan, “Biarkanlah dia, kerana malu itu sebahagian daripada iman.

Hadis riwayat Abu Hurairah, beliau berkata: Rasulullah bersabda yang bermaksud:
“Iman itu ada tujuh puluh cabang lebih. Dan malu adalah salah satu cabang iman.” (Sahih Muslim No.50)

Hadis riwayat Imran bin Husaini, beliau berkata: Nabi pernah bersabda:
“Malu itu tidak datang kecuali dengan membawa kebaikan.” (Sahih Muslim No.53)

Dalam masyarakat kita, ada anak yang berani meninggikan suara dan bersifat kurang ajar terhadap ibu bapa mereka. Ia berlaku kerana kepincangan nilai serta hilangnya rasa malu dari dalam diri.

Begitu juga, pelajar mula tidak menghormati gurunya, lelaki melangkah ke tempat maksiat, perempuan yang tidak sopan di khalayak ramai, pasangan bercinta berjumpa dan bercanda serta ada di kalangan masyarakat mula dihinggapi perasaan ingin popular seperti artis.

Pemimpin pula menganggap jawatan dan amanah sebagai batu loncatan mengaut keuntungan dan melakukan kezaliman akibat hilangnya perasaan malu. Pendek kata, apabila rasa malu mula sedikit demi sedikit hilang dari seseorang, maka terbukalah pintu kemaksiatan dan fitnah bakal bermaharajalela.

Sebab itu, sifat malu penting untuk dipelihara dan dijaga. Jangan terpengaruh dengan sistem pendidikan barat yang mengajar anak mereka supaya tidak malu. “Just do it” antara kata-kata popular di kalangan remaja dan masyarakat. Walaupun ada kebaikannya kepada diri dan masyarakat namun ia perlu diperhalusi.


Namun dalam bab menuntut ilmu dan menyatakan yang hak kita seharusnya tidak boleh malu. Malah, wanita pada zaman Rasulullah tidak menghalang diri mereka dari bertanya dan mendalami ilmu pengetahuan.

Sifat itu wajar kita contohi malah pepatah Melayu ada mengatakan “Malu bertanya sesat jalan”. Ia menunjukkan, bagi mengeluarkan seseorang dari kejahilan dan kekaburan, jangan malu untuk bertanya dan menimba ilmu.

Rasa malu untuk melakukan kebaikan tidak patut ada di dalam diri manusia kerana Allah menyuruh hamba-Nya berlumba-lumba melakukan kebaikan.

Antara dimensi malu yang perlu diberi perhatian ialah:
  • Rasa malu kerana meninggalkan kewajipan (hal yang berhukum fardu dan wajib meliputi iman dan semua kewajipan agama).
  • Rasa malu untuk kerana meninggalkan sunnah (hal yang berhukum sunnah yang dianjurkan berdasarkan contoh dari Rasulullah).
  • Rasa malu kerana meninggalkan kemuliaan (hal termasuk kategori sifat dan sikap mulia selain yang jelas berhukum wajib dan sunnah).
  • Rasa malu kerana melakukan pelanggaran, kemaksiatan dan hal yang diharamkan dalam syariah Islam.
  • Rasa malu kerana melakukan hal yang melanggar adab dan etika di tengah-tengah masyarakat 6-Rasa malu kerana melakukan hal berhukum syubhat dan makruh.

Sumber : ePondok

Tuesday, September 25, 2012

Betapa Malunya Kita Apabila

Assalamualaikum w.b.t.

Bayangkan apabila Rasulullah tiba-tiba muncul mengetuk pintu rumah kita. Baginda datang dengan penuh senyuman dan muka yang bersih di depan pintu rumah kita. Apakah yang akan kita lakukan?

Semestinya kita akan sangat berbahagia memeluk baginda erat-erat lantas mempersilakan baginda masuk ke ruang tamu kita. Kemudian kita tentu akan meminta dengan bersungguh-sungguh supaya baginda singgah beberapa hari di rumah kita.

Bagaimana kalau Rasulullah bersetuju menginap di rumah kita? Barangkali kita teringat kepada anak-anak kita yang lebih arif tentang lagu-lagu barat yang melalaikan daripada selawat dan berzikir. Kita tentu berasa malu memikirkan anak kita yang tidak mengetahui sirah Rasulullah kerana kelalaian kita mengajar mereka.

Namun, Baginda tentu tetap tersenyum...

Barangkali kita lebih malu apabila anak-anak kita tidak mengetahui walau satupun nama ahli keluarga Rasulullah tetapi lebih menghafaz nama-nama artis, penyanyi, ahli-ahli sukan dan watak-watak kartun. Barangkali kita terpaksa menukar sebuah kamar mandi menjadi satu ruang solat. Barangkali kita teringat bahawa anak gadis kita tidak mempunyai koleksi pakaian yang sesuai untuk berhadapan dengan Rasulullah.

Namun, Baginda tentu tetap tersenyum...

Tidak termasuk lagi buku-buku kepunyaan kita dan anak-anak kita yang memaparkan gambar gadis yang mendedahkan tubuh jua auratnya untuk diratah oleh mata yang tidak takutkan azab Allah. Tidak termasuk juga koleksi kaset-kaset kita dan anak-anak kita. Tidak termasuk koleksi karaoke kita dan anak-anak kita. Kemana harus kita singkirkan semua ini demi menghormati Nabi akhir zaman ini?

Barangkali kita akan malu kepada baginda apabila baginda tahu bahawa kita tidak pernah pergi ke masjid meskipun azan akan tetap setia menyeru para mukmin untuk tunduk dan memperhambakan diri kepada Rabbul Alamin.

Namun, Baginda akan tetap tersenyum...

Barangkali kita akan malu kerana pada saat azan Maghrib berkumandang kita masih lagi sibuk dengan bola dan TV. Barangkali kita merasa malu kerana kita menghabiskan hampir seluruh masa kita untuk mencari kesenangan duniawi. Barangkali kita akan merasa malu kerana keluarga kita tidak pernah mengerjakan solat sunat. Barangkali kita merasa malu kerana keluarga kita jarang sangat membaca Al-Quran.

Bayangkan Rasulullah tiba-tiba muncul di hadapan rumah kita. Apakah yang akan kita lakukan? Masihkan kita akan memeluk junjung kita dan mempersilakan baginda untuk masuk dan menginap rumah kita?

Atau akhirnya kita dengan berat hati terpaksa menolak kunjunan Rasulullah ke rumah kita kerana hal itu akan membuatkan kita kalut dan berasa malu.

Maafkan kami wahai Rasulullah, masihkah Baginda tersenyum?
Senyuman pedih, senyuman pilu, senyuman getir.

Oh betapanya malunya hidup kita ketika itu dihadapan mata Rasulullah. Fikirkanlah, peringatan untuk diri saya sendiri dan sahabat-sahabat.

Sumber : UBS PMRAM

Sunday, September 23, 2012

Islam Adalah Rahmat

Assalamualaikum w.b.t.

Ada orang pernah merasa malas dan letih untuk mengamalkan Islam. Dia rasa penat. Katanya: “Islam ni susah. Itu kena buat, ini kena buat. Leceh”

Mungkin bukan seorang yang rasa begitu. Dan sememangnya, sebagai manusia yang penat dengan sesuatu yang berulang-ulang atau sesuatu yang berat perlu dilaksanakan, akan timbul dalam hatinya perasaan bosan. Akhirnya akan muncul pertanyaan: “Kenapa lah aku kena buat begini, begitu?”

Sebenarnya, Allah suruh buat itu dan ini dalam kehidupan kita, adalah kerana kita memerlukannya.

Allah Yang Menciptakan Kita

Satu perkara yang sering kita terlupa, tetapi kita tahu akan halnya adalah: Allah itulah Pencipta kita. Di sini, kita dapat melihat Kenapa Allah S.W.T. itu Maha Mengetahui. Dia juga adalah Yang Maha Bijaksana. Keagungan Allah SWT tidak akan sampai akal kita memikirkannya, dan Dia langsung tidak akan sama dengan ciptaan-ciptaan-Nya.

Pencipta, lepas itu tahu apa yang diperlukan oleh yang diciptakan-Nya. Maksudnya, apa-apa yang Allah arahkan untuk kita, menyuruh kita melakukan itu dan ini, adalah untuk kita, manusia ciptaan-Nya bergerak dalam keadaan terbaik sekali. Agar hidup kita tidak berdepan dengan situasi masalah. Jadi, Allah menyuruh kita melakukan itu dan ini adalah kerana kita memerlukan ia.

Macam kita nak main game. Pencipta Game berkata: “Game aku ni, nak main kena pakai graphic Card NVIDIA GeForce 9900 GT. Kalau tak, main dia tak bagus lah. Tersekat-sekat”. Maka, untuk bermain game dengan kepuasan tertinggi, kita pun membeli Graphic Card itu, dan meletakkan ia di dalam komputer kita.

Macam itulah analoginya kita dengan Allah S.W.T. Kita hendak kehidupan yang baik, maka Allah sebagai pencipta kehidupan kita berkata: “Cara kehidupan di sisi Aku hanyalah Islam”. Maksudnya, hendakkan kehidupan yang terbaik, manusia kena ambil Islam. Maka, kita kena lah ambil Islam. Kita ambil Islam, bukan sebab kena, tetapi sebab kita memerlukan Islam untuk kehidupan yang terbaik.

Allah Maha Mengetahui

Bagi mereka yang menyedari hal keperluan ini, maka mereka akan berusaha memaksa diri mereka untuk melaksanakan apa sahaja yang Allah S.W.T. arahkan. Hal ini kerana, mereka mengetahui bahawa, apa sahaja arahan Allah SWT adalah kerana manusia memerlukan.

Allah suruh kita solat, adalah kerana manusia memerlukan checkpoint dalam hidup dia. Jiwa manusia perlu keluar dari dunia yang mayghul, sesak, bermasalah ini sementara, berkaunseling dengan Allah SWT, recharge semula kekuatan, kemudian masuk kembali ke dalam dunia dan mengharungi arus kehidupan. Sebab itu, 5 hari sekali solat kita, siapa yang menghayatinya, maka masalah hidupnya akan mampu dilalui dengan baik.

Allah suruh kita baca Al-Quran, kerana kita perlukan Al-Quran untuk menguatkan iman kita. Di dalam Al-Quran adanya aqidah kita. Kita tidak boleh nampak Allah, Rasulullah S.A.W. pula telah wafat, maka Al-Quran sahaja wakil langit yang masih tinggal, Kalam Allah yang takkan berubah.

Allah menyuruh kita menjaga hubungan dengan orang lain, sebab kita perlukan kawan, teman untuk mengharungi hidup. Allah tahu, keperluan manusia kepada ‘perkara yang terlihat’, sebab itu Dia menyuruh kita berta’aruf dan membina hubungan yang baik. Kita perlukan kesatuan untuk hidup aman damai.

Begitulah yang lain-lain. Semuanya kerana kita perlu. Manusia perlukan dan Allah tahu manusia memerlukannya, sebab itu Allah suruh manusia melaksanakan segala suruhan-Nya.

Kenapa perlu menyembah Allah?

Soalan kena ni, paling cepu mas sekali adalah kenapa Allah kita jadikan tuhan. Kenapa tak ambil pokok, kenapa tak ambil batu, kenapa tak ambil matahari?

Sebab Allah itu memang Rabb, Tuhan, Ilah kepada alam ini dan segala isinya. Sebab hanya Allah sahaja yang mempunyai sistem lengkap, sempurna dan memenuhi kehendak manusia yang sebenarnya, seterusnya memenuhi maslahat alam seluruhnya. Adakah sesuatu yang lain(atau kalau benar ada tuhan lain pun) dalam dunia ini mampu memenuhi maslahat kehidupan insan dan alam seperti Allah S.W.T. memenuhinya?

Kesimpulannya, kita sembah Allah S.W.T., sebab kita memerlukan Rabb, Tuhan, Ilahi seperti-Nya. Tanpa menjadikan Allah S.W.T. sebagai Ilahi, Rabb, Tuhan kita, mengikuti segala arahan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya, kita tidak akan mampu menjalani kehidupan ini secara sempurna. Dan, kalau kita sempurna pun, belum tentu lagi sekeliling kita akan mengalami kesempurnaan.

Kehebatan Allah S.W.T. adalah, Islam itu bukan untuk kepuasan individu sahaja, ia punya kaitan yang sangat banyak dengan semua yang wujud di alam ini. Tahukah Kenapa Islam mengajar kita menjaga kebersihan? Kenapa Islam mengajar kita jangan membazir air? Kenapa Islam mengajar berakhlak? Kenapa Islam mengajar agar menjaga masa? Kenapa Islam mengajar jangan potong pokok tanpa sebab? Adakah semua itu berkaitan dengan seorang manusia sahaja? Atau semua itu ada kaitan dengan manusia lain dan alam?

Cuba kita fikir, kaitkan semuanya, dan lihat apa hasilnya. Tidakkah dengan melaksanakan Islam, seluruh dunia akan menjadi baik? Siapa yang aturkan Islam yang serba canggih dan jauh ke hadapan ini? Allah. Sebab itu kita sembah Dia. Sebab kita perlukan Dia.

Sebagai penutup, di sini saya suka mengajak diri saya dan anda sebenarnya, perbaiki niat kita. Jangan rasa terpaksa. Siapa rasa terpaksa, sebenarnya dia tidak bersangka baik kepada Allah S.W.T. Antara sifat Allah S.W.T. adalah adil. Allah S.W.T. tidak pernah memungkiri janji-Nya. Allah SWT tidak pernah menzalimi hamba-hamba-Nya. Tapi, kalau kita lihat, manusialah yang sering menzalimi dirinya sendiri.

Kita lihat ya, kalau kita kena buat sesuatu sebab kita perlu, bukankah yang menyuruh kita buat itu sebenarnya amat mengambil berat, amat menyayangi dan amat mengasihi?

Allah S.W.T. dengan pengetahuan-Nya yang tidak terjangkau oleh sesiapa pun, telah memberikan pilihan kepada kita manusia. Dia dah tunjukkan jalan untuk mencapai kesempurnaan hidup, kepuasan hidup tertinggi. Sebab itu Allah tetapkan peraturan, ada yang kena buat, ada yang kena tinggal. Tapi semuanya adalah kerana kita perlukan.

Lihatlah, duduklah, muhasabahlah. Cuba lihat balik arahan-arahan dan tuntutan-tuntutan Allah. Bukankah semua itu sebenarnya memenuhi fitrah, keperluan kita sebagai manusia?

Maka sistem apakah lagi selain sistem Allah S.W.T. yang memenuhi keperluan kita sebagai manusia? Malah, ajaibnya, apa yang Allah suruh ini tidak sahaja membawa manfaat kepada kita sebagai individu, tetapi juga kepada kita sebagai masyarakat, dan masyarakat sebagai sebahagian daripada alam.

Sebab itulah, Islam itu adalah rahmat kepada seluruh alam, bukan untuk manusia sahaja. Bukalah mata, lihatlah.

"Kalau besar yang dituntut dan mulia yang dicari, nescaya banyaklah kepayahan dan kesusahan melaluinya, panjang jalannya dan banyak rintangannya." (HR Imam Al-Ghazali)

Saturday, September 22, 2012

Golongan Yang Mendapat Naungan di Akhirat

Assalamualaikum w.b.t.

Pada hari pertama pengadilan di padang mahsyar, seluruh manusia berhimpun semenjak manusia pertama iaitu Nabi Adam sehinggalah manusia terakhir. Keadaan manusia pada hari itu sesuai dengan amalannya semasa di dunia dahulu. Rasulullah S.A.W. menggambarkan ada tujuh golongan manusia yang akan mendapat pertolongan dan naungan pada hari itu, menerusi sabda beliau yang maksudnya:

“Sebilangan manusia yang dinaungi Allah di bawah naungan-Nya pada hari kiamat iaitu hari yang tidak ada sebarang naungan padanya selain daripada naungan Allah; di antaranya ialah: Pemerintah yang adil, pemuda yang hidupnya sentiasa dalam mengerjakan ibadah kepada Tuhannya, orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid, dua orang yang berkasih sayang kerana Allah di mana kedua-duanya berkumpul dan berpisah untuk mendapat keredaan Allah, orang yang dipujuk oleh perempuan yang kaya lagi rupawan untuk bersatu dengannya lalu ia menolak dengan berkata: “Aku takut kepada Allah!”, orang yang bersedekah secara bersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberi oleh tangan kanannya, dan orang yang menyebut atau mengingat Allah dengan keadaan tidak ada dalam ingatannya perkara lain, lalu menitis air matanya kerana mengingatkan sifat Jalal dan sifat Jamal Allah.” (HR Abu Daud dan Ibnu Majah)


Terdapat tujuh golongan yang bakal mendapat naungan di hari akhirat kelak iaitu sesuai dengan hadith di atas, iaitu:
  • Pemerintah yang adil. Ini kerana tanggungjawab dipikul pemerintah dalam melaksanakan keadilan adalah perkara yang amat berat dan bukanlah mudah bagi seorang pemimpin untuk melaksanakan keadilan terhadap semua rakyatnya. Sekiranya keadilan ini berjaya ditunaikan, ganjarannya adalah amat besar sekali. Namun jika gagal, dia menjadi pemerintah yang zalim dan azab menanti di akhirat.
  • Pemuda yang hidupnya sentiasa mengerjakan ibadat kepada Tuhannya. Ini kerana sebaik-baik masa dan semahal-mahal harganya di dalam hidup seseorang manusia adalah ketika alam remaja kerana pada usia muda seseorang berbagai ujian dan godaan terpaksa ditempuhi. Maka beruntunglah pemuda yang berjaya melepasi rintangan itu.
  • Orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid. Sesungguhnya terdapat hadis menyebutkan bahawa dua hayunan kaki yang melangkah ke masjid ganjarannya amat besar di sisi Allah S.W.T. dan dikategorikan sebagai satu sedekah.
  • Dua orang yang berkasih sayang kerana Allah di mana kedua-duanya berkumpul dan berpisah untuk mendapat keredaan Allah. Hubungan yang terjalin di atas dasar yang bercanggah dengan syariat sehingga melanggar batas agama, adab kesopanan dan sebagainya adalah hubungan yang menjurus ke arah dosa dan maksiat. Seharusnya ikatan kasih sayang yang dijalinkan sesama manusia mestilah ikhlas kerana Allah agar perhubungan itu mendapat pahala, restu dan keberkatan daripada-Nya.
  • Orang yang dipujuk oleh perempuan yang kaya lagi rupawan untuk berzina lalu dia menolak dengan berkata: “Aku takut kepada Allah!” Ini menunjukkan keimanan dan ketakwaan yang sebenar berjaya menangkis segala bentuk godaan yang datang. Hal ini bukanlah mudah kerana tanpa kekuatan iman seseorang itu pasti akan mudah terpengaruh dengan bisikan nafsu dan akhirnya terjebak dalam perbuatan zina.
  • Orang yang bersedekah secara bersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberi oleh tangan kanannya. Ia menggambarkan mengenai keikhlasan hati orang yang bersedekah. Sesungguhnya tidak ramai orang dapat menyembunyikan kebaikan dilakukannya melainkan akan terdapat perasaan riak dan ingin menunjuk supaya mendapat pujian atau sanjungan dari orang ramai.
  • Orang yang menyebut atau mengingati Allah dengan keadaan tidak ada dalam ingatannya perkara lain, lalu menitis air matanya kerana mengingatkan sifat Jalal dan sifat Jamal Allah. Inilah sifat muslim mukmin sejati yang mempunyai perasaan cintakan Allah dengan sepenuh hatinya. Dia sentiasa memikirkan dan menghayati kejadian dan keagungan ciptaan Allah serta sifat-Nya yang Maha Agung. Oleh yang demikian hati, fikiran dan jiwanya terhindar daripada perkara yang melalaikan.


Sumber : Buku Malam Pertama Di Syurga – Adil Akhyar, SH, LL.M

Friday, September 21, 2012

Final Presentation Week

Assalamulaikum w.b.t.

Alhamdulillah, minggu yang sibuk dengan presentation telah pun berakhir dengan jayanya. =.=" Sudah menjadi kepastian pada minggu hadapan akan berhadapan dengan minggu mengulangkaji pelajaran.

Di bawah ini merupakan hasil final project yang tidak seberapa untuk semester ini. Kami telah diberi tugasan untuk menghasilkan video 3D, web portal untuk JCorp - IKS Johor dan membangunkan robot untuk perdagangan.

Pembangunan Aplikasi e-Dagang



Pemodelan dan Animasi 3D


Pengaturcaraan Berasaskan Web - Perniagaan & Keusahawanan





Thursday, September 20, 2012

Tempat Paling Mulia Di Dunia



Dari Abu Hurairah R.A. Nabi Muhammad S.A.W. bersabda,
"Tidak sepatutnya (bersusah-payah) keluar belayar (untuk menziarahi mana-mana masjid) kecuali (pergi) ke tiga buah masjid, Masjidil Haram di Mekkah, Masjidir Rasul (Masjidi an-Nabawi di Madinah) dan Masjidil Aqsa di Palestin." (HR Bukhari)



Dari Abi Hurairah R.A. Nabi Muhammad S.A.W. bersabda,
"Satu solat di masjid ku ini (masjid Nabawi) lebih baik dari seribu solat di tempat lain kecuali Masjidil-Haram". (HR Bukhari dan Muslim)



Dari Jabir bin Abdullah R.A. Rasulullah S.A.W. bersabda,
"Solat di masjidku ini (masjid Nabawi) lebih afdal dari 1,000 solat di masjid lain kecuali masjidil Haram dan solat di masjid Haram lebih afdal dari 100,000 solat di masjid lain". (HR Ahmad dan Ibnu Majah).

Tuesday, September 18, 2012

Membina Keyakinan Diri Semasa Pembentangan

Assalamualaikum w.b.t.


Bercakap di hadapan orang ramai atau membuat pembentangan dalam kelas atau pembentangan projek sememangnya membuat kebanyakkan orang itu merasa gementar. Membuat pembentangan adalah perkara biasa terutama sekali semasa berada di universiti ataupun di alam pekerjaan. Pembentangan ini akan menetukan siapa diri anda dan adakah mesej yang anda ingin sampaikan ini dapat disampaikan dengan baik dan difahami oleh pendengar.

Pembentangan yang baik adalah pembentangan yang dapat mempengaruhi keputusan yang bakal pendengar anda buat. Jadi penting untuk anda fokus bukan saja kepada ciri-ciri pembentangan yang baik, malah perlu ada juga unsur emosi. Emosi yang disampaikan akan mempengaruhi keputusan pendengar. Akhir sekali perlu disusuli dengan tindakan yang perlu dilakukan oleh pendengar sebagai kesimpulan.

Kurang keyakinan diri, takut dan malu sering kali menganggu minda seseorang. Apa lagi bagi mereka yang baru pertama kali membuat pembentangan. Namun sekiranya seseorang itu terlalu gementar dan sukar untuk mengawalnya, ia biasanya akan mengganggu fokus diri dan seterusnya memberi kesan negatif terhadap kualiti pembentangan. Di sini saya sertakan beberapa tips untuk membina keyakinan diri semasa pembentangan.


Persediaan Pembentangan

1. Pemilihan jenis huruf - Ini adalah sangat penting supaya semua orang yang berada dalam dewan dapat melihat dengan jelas tulisan yang digunakan untuk menyampaikan poin anda.

2. Warna - Warna memainkan peranan yang sangat penting untuk penonton anda melihat dengan jelas perkataan, ayat dan poin yang anda bentangkan. Kesalahan yang biasa dilakukan adalah apabila pembentang cuba menggunakan warna-warna fancy yang kononnya ingin menjadikan pembentangan mereka lain daripada yang lain.

3. Power point - Power point digelar power point adalah kerana ia untuk poin dan bukan untuk meletakan karangan. Ramai pembentang membuat kesalahan dengan meletakkan seluruh perenggan yang ada dalam modul atau kertas kerja dalam power point. Penonton ingin melihat kepada slides anda untuk mengetahui point dan mengharapkan anda akan menghuraikan serta menerangkan setiap poin tersebut.

4. Membuat penerangan - Menerangkan setiap poin ini dengan memberikan contoh atau cerita menarik serta memberikan definisi.

5. Penggunaan Gambar atau Video - Penggunaan gambar juga boleh memainkan peranan yang penting dalam pembentangan. Namun gambar yang dipilih perlu menarik dan menyampai mesej yang jelas kepada penonton.

6. Persediaan Awal - Sentiasa membuat latihan beberapa kali sebelum pembentangan yang sebenar. Ini akan memberikan beberapa kelebihan kepada anda.

7. Menyediakan bahan pembentangan - Sediakan segala kelengkapan pembentangan anda. Adalah lebih baik jika anda membuat banyak kajian mengenai apa yang bakal anda bentangkan.

8. Sediakan versi bertulis pembentangan anda - Namun begitu, janganlah membacanya seperti membaca berita. Ia bertujuan untuk anda mengingat semula apa yang harus disampaikan sekiranya anda hilang fokus.


Semasa Pembentangan

1. Memakai pakaian yang sesuai. Pakailah pakaian yang menyelesakan anda serta sesuai dengan formaliti tajuk pembentangan anda.

2. Sentiasa melakukan ‘eye contact’ dengan penonton yang memberikan maklumbalas positif seperti mengangguk dan tersenyum dengan pembentangan anda.

3. Melakukan pergerakan. Sentiasalah bergerak semasa membentang. Ini akan membantu anda lebih tenang dan mengelakkan rasa kaku.

4. Beraksi dengan yakin. Beraksilah dengan yakin semasa pembentangan. Dengan ini, perasaan yakin juga akan menyusul. Apabila anda yakin, penonton juga akan memberikan tindak balas positif dan seterusnya menambahkan lagi keyakinan anda.

5. Jangan mengkritik diri secara mental semasa menyampaikan pembentangan. Jika anda terlalu fokus atau menggambarkan kesilapan yang dilakukan maka ianya akan menambahkan ketakutan anda. Fikir secara positif dan berikanlah pembentangan sebaik yang boleh. Jika nak kritik diri, kritiklah selepas pembentangan.

6 Berdiri Di Hadapan Tepi Kanan Screen - Anda perlu berdiri dengan berkeyakinan di hadapan sebelah kanan screen. Dengan ini anda tidak menghalang penonton untuk melihat slide anda.

7. Gunakan penunjuk screen - Gunakan penunjuk screen untuk menunjukkan poin yang anda ingin terangkan. Jika tidak ada penunjuk screen, gunakan pensel atau pembaris. Jangan sekali-kali gunakan jari anda.

8. Akhiri Pembentangan Dengan Saranan - Akhiri pembentangan anda dengan saranan atau apa yang perlu bertindak oleh penonoton pada masa itu. Ia boleh jadi mereka perlu bertindak untuk mendaftar, atau bertindak memahami sesuatu isu ataupun mereka perlu sedar mengenai sesuatu yang perlu diubah.


Pembentangan yang baik akan bermula dengan pembentang mengalihkan fokus pendengar daripada mana-mana bidang lain kepada bidang yang diterangkan, kemudian pembentangan memainkan emosi dengan cerita supaya pendengar faham secara tidak langsung bahawa apa yang sedang disampaikan ini penting. Kemudian di akhir pembentangan disusuli dengan tindakan yang perlu diambil dengan jelas. Sebenarnya semasa pembentangan, penonton biasanya tidak akan menyedari bahawa anda sedang gementar bercakap di hadapan. Oleh itu, berusahalah untuk lebih relaks. Diharapkan agar anda mendapat manfaat melalui tips di atas, Insya'Allah.

Monday, September 17, 2012

Fatwa Mufti

Assalamualaikum w.b.t.

Dari segi bahasa Fatwa bermaksud menjelas dan menghuraikan hukum permasalahan. Dari segi istilah pula, Fatwa adalah sebagai jawapan yang dibuat oleh mufti pada perkara yang berlaku apabila diajukan soalan kepadanya. Fatwa juga ialah mengkhabarkan hukum Allah SWT sama ada pada yang mesti atau harus.


Fatwa memiliki kedudukan yang agung. Orang yang memberi fatwa mencurahkan fikiran untuk menjelaskan apa yang samar-samar bagi umat tentang urusan agama dan membimbing mereka ke jalan yang lurus. Oleh kerana itu, kedudukan ini tidak mampu disandang melainkan ahlinya.

Lantaran itu Ibnu Manzhur mendefinisikan bahawa fatwa ialah suatu kenyataan yang dikeluarkan oleh mufti mengenai suatu hukum atau satu keputusan yang dikeluarkan oleh seorang yang faqih iaitu seorang yang berpengetahuan luas dan mendalam dalam perundangan Islam.


Terperincinya sesuatu perkara itu difatwakan adalah tidak adil bagi orang awam untuk menolak dan mengabaikan fatwa itu tanpa sebarang perbincangan yang wajar. Lebih-lebih lagi apabila fatwa itu dikeluarkan secara rasmi oleh individu atau organisasi yang diberikan autoriti oleh pemerintah.

Sesungguhnya di antara kejahatan yang terbesar dalam agama adalah seseorang mengatakan tentang sesuatu bahawa ini halal, padahal dia tidak mengetahui hukum Allah tentang itu. Atau berkata tentang sesuatu bahawa ini haram padahal dia tidak mengetahui hukum Allah tentang itu.

Sesuai dengan firman Allah yang bermaksud; "Dan janganlah kamu mengatakan terhadap apa yang disebutkan oleh lidah secara dusta ini halal dan ini haram untuk mengadakan pembohongan terhadap Allah. Sesungguhnya orang yang mengadakan-adakah pembohongan terhadap Nama Allah tidak akan beruntung." (Surah An-Nahl, Ayat 116)


Berkenaan dengan hukum menolak fatwa mufti, Dr.Mustafa Al-Bugha (seorang ulama' Syiria) menyatakan dalam kitabnya Al-Wafi fi Syarh Hadisil Arba'in Lin Nawawi bahawa fatwa itu boleh diletakkan pada dua keadaan :

1. Wajib menerima fatwa itu jika ianya disokong oleh dalil-dalil syarak yang kuat seperti Al-Quran, As-Sunnah serta alat-alat hukum yang lain.

"Dan tidaklah patut bagi lelaki yang mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang mukminah, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan (hukum), akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan barangsiapa menderhakai Allah dan Rasul-Nya maka sungguhlah dia telah sesat; dengan kesesatan yang nyata". (Surah al-Azhab, Ayat 36)

2. Wajib pula meninggalkan fatwa itu jika ia hanya berupa pandangan semata-mata tanpa disandarkan pada sebarang dalil syarak dan pada masa yang sama timbul keraguan pada yang mengambil fatwa itu. Ini kerana fatwa pada keadaan ini hanya berupa nilaian zahir mufti, bukannya takwa mahupun wara'.

Imam An-Nawawi Rahimahullah pula menyatakan pada permasalahan ini sebagaimana berikut,

"Sesuatu hadiah yang diberikan kepada kamu oleh seorang yang kebanyakan hartanya adalah haram dan jiwa kamu tidak yakin terhadap halalnya hadiah tersebut, sedangkan mufti menmfatwakan kepada kamu halal memakannya, maka sesungguhnya fatwa itu tidak dapat menghilangkan syubhat..."

Daripada An-Nawwas Bin Sam'aan R.A daripada Nabi S.A.W ; telah bersabda : "Kebajikan itu ialah akhlak yang baik sedang dosa itu sesuatu yang diragu-ragukan oleh dirimu dan kamu benci melihatnya." (HR Muslim)

Kesimpulannya, boleh untuk tidak menerima fatwa-fatwa mufti yang bersifat pandangan semata-mata tanpa bersandar kepada dalil-dalil syarak yang khusus. Ini kerana fatwa seorang mufti atau ulama' di suatu tempat terkadang berbeza dari fatwa ulama' lain di tempat yang sama.

Sumber : e-Fatwa

Sunday, September 16, 2012

Hari Malaysia 2012

Assalamualaikum w.b.t.


Pada hari ini, kita akan menyambut Hari Malaysia yang ke-49. Sambutan ini istimewa kerana buat kali pertama kita akan meraikan hari yang bermakna dan bersejarah ini di negeri Sarawak secara besar-besaran. Dan tema pada tahun 2012 ini, tidak lain dan tidak bukan ialah Janji DiKecapi DiTepati Rakyat Sejahtera.

Sempena Hari Malaysia di penghujung Syawal dan masih dalam sambutan kemerdekaan ini, marilah kita bersama-sama memaafi dan memuhasabah diri dengan kembali kepada fitrahNya.

Hadis Nabi Muhammad S.A.W. : “Seorang Muslim itu adalah bersaudara dengan Muslim yang lain. Dia tidak boleh menganiayainya dan tidak boleh menyerahkannya (kepada musuhnya)…” (Muttafak ‘alaihi)


Dalam situasi maruah Islam semakin dijatuhkan oleh konco zionis kini, marilah berpadu dan bersatu hatilah demi mempertahankan jati diri, keimanan, maruah Islam dan negara bagi kelangsungan ibadah, keharmonian masyarakat dan pembangunan bermaruah Negara yang disayangi ini. Semoga kita semua terus bersama merasai nikmat dan erti sebenar penyatuan dan kemerdekaan Malaysia.

“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya.” (Surah al-Imran, Ayat 103)

Selamat Menyambut Hari Malaysia :) walaupun tidak sempat menukar header sempena Hari Malaysia pada kali ini kerana kesibukan masa =.="

Saturday, September 15, 2012

Kisah Akhir Zaman

Assalamualaikum w.b.t.


An-Nawwas bin Sim’an r.a berkata: Pada suatu pagi Rasulullah S.A.W. menyampaikan hal ehwal Dajjal. Kadang-kadang suara baginda terdengar mendatar dan kadang-kadang keras, sehingga kami mengira Dajjal berada di sekitar kebun Madinah. Ketika kami kembali, baginda mengetahui ada sesuatu yang sedang kami fikirkan. Baginda bertanya: Ada apa dengan kalian? Kami menjawab: Wahai Rasulullah s.a.w, pagi tadi engkau menyebut perihal Dajjal, kadang-kadang suaramu terdengar mendatar dan kadang-kadang keras, sehingga kami mengira Dajjal berada di sekitar kebun yang ada di sini. Baginda bersabda: Bukan Dajjal yang paling aku takutkan akan memperdayai kalian, sebab jika Dajjal muncul di saat aku masih hidup, maka aku akan mengatasinya langsung dan menjaga kalian darinya. Dan jika ia muncul ketika aku telah tiada, maka setiap orang akan dapat mengatasinya dengan mudah, Allah yang akan mengambil perananku untuk menjaga setiap muslim.

Sesungguhnya saat muncul, Dajjal adalah seorang pemuda berambut sangat kerinting, matanya menonjol keluar, seperti mirip dengan Abdul ‘Uzza bin Qathan. Barangsiapa di antara kalian yang melihatnya, maka hendaknya membacakan ayat-ayat pertama surah Al-Kahfi. Ia muncul di sebuah jalan yang terletak antara Syam dan Iraq, lalu membuat kerosakan di kanan dan di kiri. Wahai hamba-hamba Allah, bertahanlah.

Kami bertanya: Wahai Rasulullah, berapa lama dia tinggal di bumi? Baginda menjawab: Empat puluh hari. Sehari seperti setahun, sehari lagi seperti sebulan, sehari lagi seperti seminggu dan hari-hari yang lainnya sama seperti hari-hari yang biasa kamu alami. Kami berkata: Wahai Rasulullah, tentang satu hari yang sama seperti setahun, apakah kami cukup melakukan solat seperti hari biasa (lima kali sepanjang tahun)? Baginda menjawab: Tidak, akan tetapi perkirakanlah jarak waktunya.


Kami berkata: Wahai Rasulullah, bagaimana kecepatan perjalanan Dajjal di bumi? Baginda menjawab: Seperti hujan yang ditiup angin. Dajjal mendatangi sesuatu kaum dan mengajak mereka agar menjadi pengikutnya. Mereka pun beriman dengannya dan mahu menjadi pengikutnya. Saat itu juga Dajjal menyuruh awan untuk menurunkan hujan , maka turunlah hujan, dan menyuruh bumi untuk menumbuhkan tanam-tanaman sehingga haiwan-haiwan peliharaan kaum tersebut bertambah besar, susunya bertambah banyak dan badannya bertambah gemuk.

Kemudian Dajjal mendatangi kaum yang lain, dia mengajak mereka agar menjadi pengikutnya, tapi mereka menolak. Setelah Dajjal meninggalkan mereka, maka pada pagi harinya tanah mereka menjadi kering dan harta mereka musnah. Dajjal melewati tempat peninggalan yang lama, lalu berkata: Keluarkanlah harta yang terpendam di tanahmu! Maka keluarlah harta Qarun yang terpendam di dalamnya dan mengikuti Dajjal seperti lebah-lebah jantan yang mengikuti ratunya.

Setelah itu Dajjal memanggil seorang anak muda belia, lalu menebaskan pedangnya ke arah tubuh pemuda tersebut hingga terbelah menjadi dua dengan tepat sekali. Setelah pemuda itu dihidupkan kembali, Dajjal memanggilnya lagi dan mengajaknya agar menjadi pengikutnya. Sang pemuda hanya menghadap kepadanya dengan wajah yang tampak tegar dan ketawa. [Dalam hadith lain dikisahkan bahawa setelah pemuda itu dihidupkan, maka dia lebih yakin bahawa Dajjal itu pembohong yang besar lalu diberitahu kepada orang ramai akan siapa Dajjal. Pemuda itu akhirnya dicampakkan ke dalam kobaran api yang disangkakan oleh pengikut Dajjal adalah neraka, padahal pemuda itu masuk syurga].


Dalam keadaan seperti itulah Allah Taala mengirimkan Isa a.s putera Maryam. Isa turun di Manarah Baidha’ yang terletak di sebelah timur Kota Damaskus dengan memakai dua pakaian yang dicelup. Dia meletakkan tangannya di celah-celah sayap dua malaikat. Jika Isa menundukkan kepalanya, maka titik-titik air jatuh darinya dan apabila mengangkat tegak kepalanya, maka bercucurlah air darinya seperti butir-butir mutiara yang jatuh.

Setiap orang kafir yang merasakan hembusan nafasnya akan mati padahal hembusan nafasnya menyebar sejauh mata memandang. Isa mengejar Dajjal sampai menemukannya di daerah Bab Ludd dan membunuhnya di sana. Kemudian Isa mendatangi suatu kaum yang telah dijaga oleh Allah dari kejahatan Dajjal. Isa mengusap wajah mereka dan menerangkan kedudukan-kedudukan mereka di syurga. Dalam keadaan seperti itu Allah mewahyukan kepada Isa a.s: “Sesungguhnya Aku telah mengeluarkan hamba-hambaKu (manusia) yang sangat kuat sehingga tidak ada yang sanggup berperang melawan mereka. Kerana itu, bawalah hamba-hambaKu yang taat ke gunung Thur dan berlindunglah di sana.”

Allah mengeluarkan Yakjuj dan Makjuj. Mereka bergerak dengan cepat dari segala arah. Kelompok mereka yang berada di garis depan melewati danau Thabariyah dan meminum airnya. Ketika kelompok di garis belakang tiba, mereka berkata: Sebelumnya danau ini masih penuh dengan air.

Nabi Isa dan para pengikutnya dikepung. Keadaan mereka semakin memprihatinkan sehingga satu kepala lembu yang ada di tangan mereka lebih berharga dari seratus dinar yang ada di tangan kalian saat ini. Nabi Isa a.s dan para pengikutnya berdoa kepada Allah Ta’ala. Maka Allah menjadikan ulat pada leher Yakjuj dan Makjuj sehingga esoknya mereka semua mati sekaligus.


Isa A.S. dan para pengikutnya turun dari gunung, tapi seluruh tempat di daerah tersebut penuh dengan mayat dan menyebarkan bau busuk yang menyengat. Nabi Isa A.S. dan para pengikutnya berdoa kepada Allah Taala, maka Allah mengirimkan burung-burung besar seperti leher unta yang mengambil mayat-mayat bangsa Yakjuj dan Makjuj dan melemparkannya di tempat-tempat yang dikehendaki Allah. Lalu Allah menurunkan hujan yang sangat deras dan meliputi seluruh kota dan pendalaman sehingga tanah menjadi bersih dan licin. Kemudian dikatakan kepada bumi: Keluarkanlah buahmu dan kembalikan berkahmu.

Di masa itu sekelompok masyarakat boleh memakan buah delima dan menggunakan kulitnya untuk melindungi kepala dari sengatan matahari. Susu pun menjadi berkah sehingga susu seekor unta cukup untuk diminum oleh sekelompok masyarakat. Susu seekor lembu cukup untuk diminum oleh satu kabilah (suku) dan susu seekor kambing cukup diminum oleh sekelompok keluarga besar. Dalam keadaan seperti itu, tiba-tiba Allah mengirimkan angin yang sangat menyegarkan dan menghembus di bawah ketiak mereka. Bersamaan dengan hembusannya, Malaikat mencabut nyawa setiap orang mukmin dan muslim, sehingga yang tersisa di bumi adalah orang-orang yang bergelumang dengan dosa. Mereka biasa berzina di tempat terbuka seperti keldai. merekalah yang mengalami kejadian Hari Kiamat.

(HR Muslim)

Sumber : Syahirul.com
Nota : Gambar yang dipaparkan adalah sekadar hiasan sahaja.

Friday, September 14, 2012

Dr Muhammad Afifi al-Akiti

Assalamualaikum w.b.t.

Siapakah Dr Muhammad Afifi al-Akiti? Berkemungkinan ada yang telah mengenalinya dan ada yang tidak. Dr Muhammad Afifi al-Akiti boleh dikenali juga sebagai Sheikh Afifi. Sheikh Afifi ialah salah seorang felo pensyarah Pengajian Islam di Pusat Pengajian Islam Oxford, Pensyarah Pusat Islam dalam bidang pengajian Islam di Fakulti Teologi, Universiti Oxford, dan juga merupakan felo pensyarah di Worcester College, Oxford. Beliau merupakan orang berbangsa Melayu pertama seumpamanya yang berjaya menjadi salah seorang tenaga pensyarah di universiti yang paling berprestij di dunia itu.


Dr al-Akiti telah berjaya mendapat ijazah kedoktoran falsafah (DPhil) dalam jurusan Falsafah Arab Pertengahan (Medieval) dari Universiti Oxford sebagai Cendekiawan Clarendon pada tahun 2008. Tesisnya telah menerangkan dan secara sistematiknya dianggap sebagai suatu bentuk penulisan falsafah yang diletakkan dibawah kumpulan pertama yang digelar sebagai karpus Madnun, dipersembahkan kepada teologis Islam termasyur, Imam Al-Ghazali.

Penemuannya adalah berdasarkan kepada kaji selidik yang mendalam terhadap kira-kira 50 manuskrip Arab zaman pertengahan (Medieval). Selain itu, terdapat juga tiga siri kajiannya yang diterbitkan yang dapat menyajikan edisi kritis dari hasil kerja yang paling maju dan teknis dari korpus, manual pada metafizik dan falsafah alam yang disebut Mayor Madnun.


Dr al-Akiti, yang berasal dari Malaysia, telah dilatih sebagai seorang ahli teologi dan ahli falsafah dalam kedua-dua bidang keutamaan khususnya berkaitan dengan Dunia Islam dan tradisi barat. Beliau telah dididik oleh pelbagai Ulama, Dunia Islam yang mahsyur sejak beliau memulakan pengajian dari sekolah pondok lagi. Beliau telah menerima Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama dalam bidang Falsafah Skolastik dan Sejarah Sains dari Universiti Queen Belfast, dimana beliau berpeluang mendapat pelbagai anugerah biasiswa untuk meneruskan pengajiannya di peringkat sarjana dan doktor falsafah di Oxford. Bidang kepakaran beliau adalah dalam bidang teologi Islam, falsafah dan sains.


Pada tahun 2009, bersama dengan Professor Muhammad Abdel Haleem dan IIIT, Dr al-Akiti beliau telah disenarai pendek sebagai salah seorang yang tersenarai dalam Anugerah Muslim UK Tahunan, atas kecemerlangannya menyumbang ilmu pendidikan Islam. Manakala pada tahun 2010, Dr al-Akiti telah dilantik sebagai Ahli Dewan Penasihat Agama Islam Negeri Perak, Malaysia, dimana pengisytiharaan ini telah disempurnakan oleh Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah.



Sumber : Muslim Civilization Project
Sumber : Al-Ahkam.Net

Thursday, September 13, 2012

Tertidur semasa Solat

Assalamualaikum w.b.t.

Pada pagi yang mulia ini, saya ingin berkongsi mengenai mengenai tajuk tertidur semasa. Mungkin tajuk agak kelakar, namun ia mungkin terjadi di mana-mana sahaja. Mungkin juga ia jarang-jarang berlaku dan kita tidak mengetahuinya.

Perkara ini berkemungkinan terjadi ketika solat Subuh dan solat Isyak. Kerana ketika waktu solat Subuh, kita baru sahaja bangun dari tidur. Seterusnya, ketika solat Isyak mungkin kerana keletihan bekerja atau melakukan aktiviti pada siang hari.


Pada kebiasanya kita hanya mengantuk ketika solat (Terlelap, bukan tertidur). Mengantuk tidaklah membatalkan solat (sebagaimana tidak membatalkan wuduk) tanpa ada khilaf di kalangan ulamak sama ada mengantuk/terlelap itu berlaku ketika kita sedang berdiri, rukuk, sujud atau duduk.

Jika kita benar-benar tertidur ketika sedang solat, maka hukumnya menurut mazhab Syafiie adalah seperti berikut :
  • Jika tidur itu berlaku semasa sedang duduk iaitu punggung kita berada tetap di atas lantai, tidaklah batal solat.
  • Jika tidur itu berlaku semasa sedang berdiri atau sedang rukuk atau sujud, batallah solat mengikut pandangan yang muktamad dalam mazhab Syafiie.

Jika seseorang tidur di dalam solatnya pada ketika sedang duduk iaitu punggungnya tetap di atas lantai, tibak batal solatnya tanpa khilaf (di kalangan ulamak mazhab Syafiie). Jika ia tidur bukan ketika duduk (yakni ketika berdiri, rukuk atau sujud), terdapat khilaf." (Imam an-Nawawi)


Mengikut pandangan yang lemah, tidak batal solat dan wuduknya. Namun mengikut pandangan yang menjadi pegangan mazhab (Syafiie), batal solat dan juga wuduknya. Jika seorang tertidur hingga bercakap di dalam solatnya (dengan percakapan yang bukan solat), batallah solatnya.

Orang yang menunaikan solat jika ia tertidur dan bercakap ketika sedang tidur itu, batallah solatnya” (Imam al-Walwaliji)

Mengenai perbezaan antara mengantuk (terlelap) dengan tidur, dijelaskan oleh ulamak seperti berikut :
  • Tidur menguasai akal dan deria (akal dan deria tidak berfungsi lagi kerana dikuasai oleh tidur) dan sedang mengantuk yang melemahkan akal dan deria sahaja (akal dan deria masih berfungsi, cuma ia lemah sahaja kerana dipengaruhi persaan mengantuk).
  • Hati tidak merasai apa-apa lagi dan sendi-sendi badan akan jatuh/longlai.
  • Masih mendengar ucapan orang yang hampir dengan kita sekalipun kita tidak memahami apa yang dikatakanya. Adapun mimpi ia adalah dari tanda tidur (maknanya, jika terlelap hingga sampai bermimpi, itu tandanya kita telah tertidur).


Sumber : Ustaz Ahmad Adnan Fadzil

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...