Adverts

Saturday, September 1, 2012

Fakta : Hajar Aswad

Assalamualaikum w.b.t.

Hari ini saya ingin menyambung perkongsian 2 hari yang lepas mengenai Kaabah dengan tajuk Hajar Aswad. Hajar Aswad ataupun dikenali sebagai The Black Stone diturunkan Allah S.W.T. dari syurga melalui Malaikat Jibril. Jemaah haji pastinya tidak ingin melepaskan peluang untuk mencium Hajar Aswad ini. Hajar Aswad terletak di sudut Timur Ka'abah pada ketinggian 1,10 meter dari lantai Masjidil Haram berukuran panjang 25 cm dan lebar 17 cm.


Sejarah Hajar Aswad

Ia merupakan sebiji permata putih, lebih putih dari salji, tetapi lama - kelamaan menjadi hitam sebab disentuh oleh orang - orang musyrik. Jika tidak nescaya cahayanya menerangi antara timur dan barat.

Ini diterangkan dari hadis Rasulullah S.A.W. yang bermaksud: Dari Ibnu Abbas r.a. katanya, Rasulullah s.a.w bersabda :
"Hajarul Aswad diturunkan dari syurga dan berwarna lebih putih dari susu. Dosa-dosa manusia (anak Adam ) menyebabkannya menjadi hitam". (HR Ahmad dan Turmizi)


Ketika Nabi Ibrahim A.S. bersama anaknya membina Kaabah banyak kekurangan yang dialaminya. Pada mulanya Kaabah itu tidak mempunyai bumbung dan pintu masuk. Nabi Ibrahim A.S. bersama Nabi Ismail A.S. bertungkus kumus untuk menjayakan pembinaannya dengan mengangkut batu dari pelbagai gunung. Dalam sebuah kisah disebutkan apabila pembinaan Kaabah itu selesai, ternyata Nabi Ibrahim masih merasakan kekurangan sebuah batu lagi untuk diletakkan di Kaabah. Nabi Ibrahim berkata kepada Nabi Ismail, "Pergilah engkau mencari sebuah batu yang akan aku letakkan sebagai penanda bagi manusia."

Kemudian Nabi Ismail A.S. pun pergi dari satu bukit ke satu bukit untuk mencari batu yang baik dan sesuai. Ketika Nabi Ismail A.S. sedang mencari batu di sebuah bukit, tiba-tiba datang malaikat Jibril A.S. memberikan sebuah batu yang cantik. Nabi Ismail dengan segera membawa batu itu kepada Nabi Ibrahim A.S.

Nabi Ibrahim A.S. merasa gembira melihat batu yang sungguh cantik itu, beliau menciumnya beberapa kali. Kemudian Nabi Ibrahim a.s bertanya, "Dari mana kamu dapat batu ini?" Nabi Ismail berkata, "Batu ini kuterima daripada yang tidak memberatkan cucuku dan cucumu (Jibril)." Nabi Ibrahim A.S. mencium lagi batu itu dan diikuti oleh Nabi Ismail A.S.


Sehingga sekarang Hajar Aswad itu dicium oleh orang-orang yang pergi ke Baitullah. Siapa sahaja yang bertawaf di Kaabah disunnahkan mencium Hajar Aswad. Beratus ribu kaum muslimin berebut ingin mencium Hajar Aswad itu, yang tidak mempunyai peluang untuk menciumnya cukuplah dengan hanya memberikan isyarat lambaian tangan sahaja. Apabila manusia mencium batu itu maka timbullah perasaan seolah-olah mencium ciuman Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail.

“Allah akan membangkitkan Al-Hajar (Hajar Aswad) pada hari kiamat. Ia dapat melihat dan dapat berkata. Ia akan menjadi saksi terhadap orang yang pernah memegangnya dengan ikhlas dan benar”. (HR Imam Bathaqie dan Ibnu ‘Abas RA)

Ingatlah wahai sahabatku, Hajar Aswad itu merupakan tempat diperkenan doa. Bagi yang ada kelapangan, berdoalah di sana, Insya Allah doanya akan dikabulkan oleh Allah S.W.T. Jagalah hati kita sewaktu mencium Hajar Aswad supaya tidak menyengutukan Allah S.W.T. kerana tipu daya syaitan amat kuat di Tanah Suci Mekah.

Ingatlah kata-kata Khalifah Umar bin Al-Khattab apabila beliau mencium batu itu (Hajar Aswad) :
"Aku tahu, sesungguhnya engkau hanyalah batu biasa. Andaikan aku tidak melihat Rasulullah S.A.W. menciummu, sudah tentu aku tidak akan melakukan (mencium Hajar Aswad)."

2 comments:

haz said...

teringin sungguh nak menjejakkan kaki di Mekah dah menyentuh Hajar Aswad ni.. =)

Muhammad Firdaus Bin Kamarudin said...

@haz Insya'Allah :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...